Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi U Mobile Sdn Bhd berkuat kuasa 13 Mac 2026, menggantikan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang melepaskan jawatan tersebut sehari sebelumnya.
Vincent Tan masih lagi pengasas & penasihat lembaga
Menerusi laporan daripada Bernama, Tan bagaimanapun kekal sebagai pengasas dan penasihat lembaga bagi terus membimbing hala tuju serta pertumbuhan syarikat.
Perkukuh infrastruktur digital negara
Menurut Tan, perubahan dalam kepimpinan itu mencerminkan komitmen U Mobile untuk terus memperkukuh infrastruktur digital negara.
“Tumpuan kami adalah ke arah mengukuhkan tadbir urus dan sokongan pembiayaan jangka panjang, jadi pasukan pengurusan boleh mempercepatkan pelancaran selain memenuhi jangkaan liputan yang ditetapkan untuk rangkaian Generasi Kelima (5G) kedua negara.
“Saya gembira berkongsi bahawa U Mobile telah berkembang dengan baik dan mendahului jadual penggunaan,” katanya.
Artikel lain: Vincent Tan Jual Saham Berjaya Corp Bernilai Hampir RM80 Juta
Beliau turut menyifatkan Tunku Aminah sebagai tokoh yang memiliki pengalaman luas dalam kepimpinan dan tadbir urus, termasuk penglibatan dalam pelbagai organisasi serta lembaga pengarah syarikat tersenarai dan swasta.
Pelantikan ini dibuat ketika Mawar Setia Sdn Bhd meningkatkan pegangan ekuitinya dalam U Mobile kepada lebih 50 peratus susulan penjualan saham dengan Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd (STT). Mawar Setia merupakan syarikat pemegangan pelaburan yang diasaskan oleh Tan bersama Tunku Aminah.
Sumber: Bernama







































