Pakar psikiatri forensik mendedahkan diari milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengandungi luahan emosi mendalam terhadap ibunya, termasuk kemarahan, kebencian serta keinginan untuk menjauhkan diri daripada keluarga.
Saksi ke-67, Dr Chua Sze Hung, 43, dari Hospital Mesra Bukit Padang berkata, kandungan diari tersebut menunjukkan emosi yang berulang dan sarat dengan kata-kata kesat yang ditujukan kepada ibu mangsa.
“Diari tersebut mencerminkan persepsi si mati terhadap A2 (ibu). Dalam diari itu, si mati menulis beberapa halaman mengenai A2. Halaman-halaman yang menggambarkan A2 sarat dengan kata-kata kesat.
“Halaman tersebut terdapat penandaan Y1 hingga Y15. Pada November 2024, si mati menulis dengan perasaan marah dan bengang, kata-kata tersebut disertai tanda sarkastik yang ditujukan kepada A2, yang namanya disebut kemudian.
“Beliau menyatakan bahawa dia akan merasa lega tanpa A2 dalam fikirannya. Banyak catatan ditulis dengan nada ditujukan kepada A2. Beliau juga merujuk A2 sebagai gangguan kepada orang lain dan mengharapkan kematian awal A2,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika prosiding inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, diari tersebut turut menggambarkan keinginan mangsa untuk menjauhkan diri daripada keluarga dan mencari ketenangan melalui perubahan persekitaran.
“Si mati menyatakan dia menantikan untuk masuk sekolah berasrama penuh kerana ingin berada lebih jauh daripada ibunya dan mencari ketenangan.
“Dia juga menyatakan lebih rela dibuli dan kehilangan barang berbanding terus dimarahi oleh ibunya,” katanya lagi.
Sze Hung turut menjelaskan bahawa catatan berkenaan memperlihatkan perasaan tidak disayangi, kebencian serta tekanan emosi yang berpanjangan.
Antara catatan lain termasuk ungkapan: ‘kalau hari-hari ja begini, mental saya pun nda kuat bah, lebih baik saya mati ja’.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kandungan diari itu perlu dilihat sebagai persepsi si mati dan tidak boleh disahkan sebagai fakta.
“Tidak jelas sama ada dakwaan dalam diari itu benar kerana ia tidak dapat disahkan secara bebas. Ia merupakan persepsi penulis diari,” katanya.
Menurutnya, keseluruhan diari menunjukkan wujudnya kesakitan psikologi yang berpunca daripada konflik kekeluargaan, termasuk perasaan kehilangan kasih sayang dan kemarahan yang mendalam.
“Adalah tidak tepat untuk mengaitkan bunuh diri dengan satu faktor sahaja. Ia merupakan gabungan pelbagai faktor,” jelasnya.
Prosiding inkues ditangguhkan dan akan bersambung semula pada 13 hingga 17 April ini.
Artikel lain: Analisis Sahkan Darah Pada Tulisan Tangan Sepadan DNA Zara Qairina
Terdahulu, peguam Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang dikaitkan dalam kes itu, manakala beberapa peguam lain mewakili pihak-pihak berkepentingan termasuk ibu dan bapa mangsa.
Untuk rekod, Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)







































