Pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan akan mengadakan perjumpaan bersama pihak Multiracial Reverted Muslims (MRM) bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang, susulan tindakan penguatkuasaan di reruai Street Dakwah mereka di Bukit Bintang, semalam.
Menurut DBKL, penguatkuasaan dilakukan selepas mendapati terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di laluan pejalan kaki awam.
“Petugas DBKL telah hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat.
“Walau bagaimanapun, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan kepada petugas DBKL,” kata kenyataan DBKL hari ini.
DBKL Tak Pernah Halang Aktiviti Dakwah
Sehubungan itu, DBKL menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan, selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa sepanjang tindakan itu, wakil MRM masih tidak hadir untuk memberi penjelasan.
Artikel lain: Ops Anti Litter: DBKL Keluarkan Lima Kompaun Kesalahan Buang Sampah
DBKL menekankan bahawa semua tindakan penguatkuasaan dijalankan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“DBKL tidak pernah menghalang aktiviti dakwah di ruang awam.
“Namun, semua aktiviti hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelas kenyataan itu.
Tindakan ini mencerminkan komitmen DBKL untuk memastikan keselamatan awam terpelihara tanpa menjejaskan hak pihak berkepentingan menjalankan aktiviti mereka secara sah.
Sumber: FB Dewan Bandaraya Kuala Lumpur










































