Ribuan pengguna di seluruh dunia berdepan kesukaran mengakses platform popular seperti X, Canva dan ChatGPT pada Selasa selepas Cloudflare mengalami gangguan besar.
Pemulihan masih berjalan
Memetik laporan daripada Reuters, syarikat yang mengendalikan hampir satu perlima trafik internet global itu mengesan isu dalaman sekitar 6.40 pagi waktu tempatan sebelum usaha pembaikan segera dimulakan.
Namun, pemulihan masih berjalan dan sebahagian pengguna mungkin terus terjejas.
Laporan alami lonjakan
Gangguan tersebut menyebabkan laporan masalah melonjak di Downdetector, dengan hampir 5,000 laporan pada kemuncak sebelum menurun kepada sekitar 600 menjelang jam 8 pagi.
Menurutnya, punca masalah tersebut dikesan apabila berlaku lonjakan trafik luar biasa.
“Kami mengesan lonjakan trafik luar biasa pada salah satu perkhidmatan Cloudflare bermula 11.20 UTC.
Situasi itu menyebabkan sebahagian trafik yang melalui rangkaian Cloudflare mengalami ralat,” kata syarikat itu dalam kenyataan e-mel.
Artikel lain: Model AI Dari China, DeepSeek Berjaya Kalahkan ChatGPT Di Stor Aplikasi
Cloudflare turut memaklumkan semua pasukan sedang bertindak penuh bagi menormalkan trafik.
Pada masa sama, tiada respons segera diberikan oleh X dan OpenAI.
Insiden ini menambah kepada siri gangguan global sebelum ini, termasuk masalah pada Azure bulan lalu dan gangguan AWS Oktober lalu yang menjejaskan ribuan laman serta aplikasi popular di seluruh dunia.
Sumber: Reuters








































