Malaysia sekali lagi menunjukkan kepimpinan kukuh di peringkat serantau apabila berjaya memacu komitmen negara-negara ASEAN dalam memperkukuh pembangunan kemahiran dan transformasi tenaga kerja masa hadapan.
Kejayaan itu dizahirkan menerusi penerimaan Kenyataan Bersama mengenai Pembangunan Kemahiran bagi Tenaga Kerja Masa Hadapan di ASEAN pada Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN – Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD) yang diadakan di Hotel Shangri-La, di sini semalam.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata langkah berkenaan menandakan kesepakatan ASEAN untuk membina tenaga kerja berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran global yang semakin mencabar.
“Kita masing-masing mempunyai keutamaan dan hala tuju nasional, namun perlu ada lebih banyak perkongsian amalan terbaik dalam latihan kemahiran bagi memastikan penyeragaman piawaian, pengiktirafan pensijilan serta kebolehgerakan kemahiran di seluruh rantau ini,” katanya.

Yang Berhormat Encik Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia menyampaikan ucapan alu-aluan beliau di ASEAN Forum of Manpower Ministers for Human Capital Development (AFMM-HCD).
ASEAN Perkukuh Kerjasama Erat
Beliau berkata, inisiatif itu juga selaras dengan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang diterajui Malaysia melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), bagi memperkukuh ekosistem latihan kemahiran di rantau ini.
Menurutnya, agenda kemahiran ASEAN perlu berpaksikan tiga nilai utama iaitu kebolehcapaian, kebolehsuaian dan kemampanan, supaya latihan kemahiran dapat diakses oleh semua golongan serta menepati keperluan dunia pekerjaan sebenar.
“Latihan kemahiran mesti relevan dengan perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan, selain mampan dari segi sumber serta pembiayaan,” katanya ketika berucap pada Forum Kemahiran Global (GSF) 2025, semalam.

Para perwakilan sedang berbincang semasa Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN bagi Pembangunan Modal Insan (AFMM-HCD).
Forum itu turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN, manakala kenyataan bersama tersebut diserahkan oleh Malaysia kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan, berkata AYOS 2025 menjadi simbol kesepakatan ASEAN untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat ekonomi global.
“AYOS 2025 membawa kita daripada visi kepada tindakan konkrit dengan menggerakkan bakat, memperkasa keterangkuman dan mempersiapkan rantau ini untuk masa hadapan,” katanya.

Yang Berusaha Dr. Syed Alwi bin Mohamed Sultan, Ketua Esekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menyampaikan ucapan beliau di ASEAN Forum of Manpower Ministers for Human Capital Development (AFMM-HCD).
Malaysia melalui KESUMA dan HRD Corp terus memainkan peranan penting sebagai peneraju pembangunan modal insan di rantau ini dengan kerjasama ILO dan Sekretariat ASEAN.
Penerimaan kenyataan bersama itu menjadi bukti komitmen kolektif ASEAN dalam membina tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya tahan dan berdaya saing bagi memastikan pertumbuhan ekonomi serantau kekal mampan dan inklusif.







































