“Tak sangka giliran anak saya pula…” luah Rosli Mohd Yusof, 52, apabila anaknya meninggal dunia dalam kemalangan di lokasi sama yang pernah meragut tiga nyawa sebelum ini.
Anaknya, Muhammad Annas Iskandar Mohd Khairi, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah van yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1, berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height, awal pagi Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, van Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Senawang menuju Bahau didakwa gagal berhenti di lampu isyarat sebelum melanggar mangsa yang datang dari arah kiri.
Anak Meninggal Dunia, Bapa Akan Lawan Tuntut
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu van tidak cedera dan telah direman selama empat hari. Ujian alkohol juga menunjukkan keputusan negatif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Individu yang mempunyai maklumat boleh hubungi Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau ke balai polis berdekatan,” katanya.
Sebelum ini, tular sebuah video papan pemuka memaparkan van terbabit melanggar lampu merah sebelum merempuh motosikal mangsa, selain video emosi seorang wanita dipercayai ibu mangsa yang meraung melihat jenazah anaknya.
Mengulas kejadian, Rosli yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia tidak pernah menyangka lokasi yang dirisaukan selama ini akan menjadi tempat kehilangan anak sendiri.
“Ketika kejadian meragut tiga nyawa di lokasi sama dulu, saya memang risaulah jika ia berlaku kepada orang lain pula.
“Lokasi itu jalan lurus, orang memang nak kejar lampu isyarat. Kalau nampak tanda perlu berhenti, berhentilah… bukannya tekan lagi. Kalau lambat tak rugi pun,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, Ahad.
Menurutnya, keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis, namun tidak menolak mengambil tindakan undang-undang jika perlu.
“Kita akan tengok tindakan polis kepada pemandu van itu. Kalau kita tak puas hati, kita akan lawan kerana kes macam ini tak boleh dibiarkan,” tegasnya.
Rosli berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu daripada seorang lagi anaknya di Klang, namun pada awalnya belum dimaklumkan bahawa Annas telah meninggal dunia.
“Anak saya hanya kata abang kemalangan dan kepalanya teruk, tapi dia tak beritahu sudah meninggal.
“Saya dan isteri dari rumah kemudiannya ke lokasi bagi melihat kejadian berlaku, tapi apabila sampai, saya tengok dia dah meninggal dunia,” katanya.
Katanya lagi, Allahyarham dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membantu bapa saudara berniaga di Taman Panchor Jaya.
“Dia anak nombor dua daripada empat beradik dan seorang anak yang baik serta tak pernah buat masalah.
“Sehari sebelum kejadian, kami ada pergi makan bersama dan waktu itu arwah tidak menunjukkan sikap pelik. Tapi saya boleh cakap, dia memang anak yang baik,” katanya sebak.
Artikel lain: Lelaki Buat Kecoh Meniarap Atas Jalan, Dipercayai Alami Tekanan Perasaan Selepas Isteri Meninggal
Sementara itu, rakan sebilik Allahyarham di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, Harith Shah Iskandar Mohd Zain, 21, turut berkongsi rasa kehilangan.
“Sepatutnya malam Sabtu kami nak jumpa lepak, tapi saya batalkan sebab ada hal lain. Tiba-tiba dapat berita dari kawan lain, arwah meninggal kemalangan,” katanya.
Menurut Harith, mereka telah berkawan sejak Tingkatan Satu dan kini menyambung pengajian bersama.
“Setiap hujung minggu, memang dah biasa dia akan balik rumah dan kerja sambilan. Arwah seorang yang periang dan tak lokek membantu,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli), IG myberitaonline
