Representasi yang dikemukakan penceramah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman, 43, salah satunya telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) berkaitan kes pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, di Mahkamah Sesyen, Seremban hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi menyatakan representasi membabitkan mangsa lelaki berusia 17 tahun ditolak AGC dan akan diteruskan untuk perbicaraan dengan pertuduhan asal, manakala representasi bagi mangsa lelaki berusia 16 tahun sudah diterima.
Foto: Sinar Harian
Manakala, peguam Mohamad Zahid Ahmad dan Fahmi Adilah yang mewakili PU Azman, memohon tarikh singkat kepada mahkamah bagi berbincang dengan anak guam mengenai arahan seterusnya berhubung keputusan representasi berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan bagi status kes tertuduh di Penjara Kajang.
Foto: Utusan Malaysia
Mohamad Zahid ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau tidak dapat mendedahkan secara terperinci keputusan representasi menghormati mahkamah dan berkongsi perkembangan terbaharu PU Azman yang berada dalam keadaan sihat di Penjara Kajang.
“PU Azman pesan supaya doakan dia… Alhamdulillah dia okay di Penjara Kajang dan hikmah di sebaliknya dia maklumkan sudah hafal satu juzuk di sana,” katanya.
Foto: MalaysiaPost
Terdahulu, PU Azman atau mesra disapa Cik Man dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober 2022 atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai 2022.
Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.
Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan dua tahun lalu pada 27 September lalu.
Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)