Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) disaman RM60 juta oleh lapan individu atas dakwaan vaksinasi COVID-19 telah menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan yang teruk.
Memetik laporan Berita Harian, tuntutan saman sivil itu dikemukakan terhadap 25 defendan melalui tindakan saman berkumpulan difailkan menerusi firma guaman Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu.
Kerajaan Malaysia dan WHO disaman RM60 juta
Antara plaintif yang memfailkan saman itu adalah seorang doktor yang mewakili ibunya yang didakwa meninggal dunia kerana mengalami komplikasi selepas mengambil vaksin dos satu serta seorang anak lelaki sulung sebagai waris bapanya yang didakwa meninggal dunia atas sebab sama.
Selain itu, seorang pekerja pembersihan rumput yang mendakwa tidak pernah mengalami maslaah kesihatan sebelum diarahkan majikannya dan kerajaan mengambil dos satu dan dos dua vaksin.
Antara 25 defenden adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Pfizer Malaysia dan Sinovac Biotech Ltd.
Defendan lain termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sementara itu, plaintif mendakwa WHO dan Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat pengisytiharan palsu dan tidak saintifik berhubung pandemik COVID-19 pada 11 Mac 2020.
WHO kemudian meluluskan serta mengesyorkan negara anggotanya termasuk Malaysia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disamping turut mendakwa wabak tersebut merupakan senjata biologi buatan manusia yang dicipta di makmal dan sengaja dibuat untuk menyerupai selesema bermusim.
“Mereka membuat usul palsu dan mengelirukan mengenai wabak COVID-19,” menurut kumpulan itu.
Pada masa yang sama, plaintif juga mendakwa hanya vaksin eksperimen bertoksik disyor digunakan untuk menangani pandemik yang didakwa mereka sebagai palsu.
Artikel lain: 13 Individu Ditahan Terbabit Kartel Pindah Milik Tanah
“Semua defendan amat cuai, sama ada dengan tidak menjalankan penyelidikan klinikal dan/atau pemeriksaan yang betul mengenai kesahihan COVID-19 dan keselamatan vaksin eksperimen bertoksik ini,” menurut kumpulan itu dalam saman berkenaan.
Plaintif turut mendakwa defendan pertama (D1) yang merujuk Muhyiddin, bukan sahaja menerima pandemik palsu tanpa penyiasatan dan pemeriksaan yang betul, tetapi juga melaksanakan PKP.
Mereka turut mendakwa defendan menggunakan pengaruh tidak adil, penipuan, salah pernyataan, penindasan fakta dan kekurangan pendedahan sepenuhnya untuk mendapatkan persetujuan orang ramai bagi apa yang mereka gambarkan sebagai vaksin eksperimen bertoksik.
Susulan itu, kumpulan terbabit mendakwa rakyat Malaysia termasuk mereka telah menandatangani borang persetujuan tanpa diberi maklumat yang penuh.
Justeru, plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa COVID-19 adalah palsu, pandemik senjata biologi buatan manusia yang dicipta untuk menyerupai selesema bermusim.
Dalam pada itu, mereka turut meminta deklarasi mahkamah untuk memaksa Malaysia menarik diri daripada menjadi anggota WHO dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) serta menuntut ganti rugi am, khas dan teladan.
Sumber: Berita Harian (Ahmad Johari Mohd Ali & Rahmat Khairulrijal)