Kementerian Komunikasi dan Maklumat Indonesia (Kominfo) mengambil tindakan tegas terhadap aplikasi Temu dan gesa sekat aplikasi itu di App Store dan Google Play Store.
Memetik laporan TransparanNew, tindakan itu diambil bagi memastikan warga Indonesia tidak boleh mengakses platform itu bagi melindungi perniagaan kecil dan sederhana di negara itu.
Indonesia gesa sekat aplikasi Temu
Menteri Kominfo, Budi Arie Setiadi mendedahkan permohonan untuk menyekat aplikasi tersebut telah dibuat terhadap App Store dan Google Play Store dan buat masa sekarang, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada kedua-duanya.
“Permohonan sedang dibuat dan kami sedang menunggu tindakan takedown daripada App Store dan Google Play Store,” katanya.
Artikel lain: Lebih 500 Pekerja ByteDance Malaysia Dilapor Ditamatkan Perkhidmatan?
Sebelum ini, laman web Temu telah disekat di Indonesia, namun begitu aplikasi Temu masih boleh dimuat turun oleh orang ramai melalui App Store dan Google Play Store.
Bagaimanapun, pengguna di Indonesia tidak dapat melakukan transaksi di aplikasi itu kerana terdapat sekatan wilayah yang dikenakan oleh Temu sendiri.
Dalam pada itu, Pengarah Jeneral Maklumat dan Komunikasi Awam Kementerian Komunikasi dan Informatika, Prabunindya Revta Revolusi berkata aplikasi Temu tidak patuh dengan peraturan di Indonesia.
Katanya, aplikasi itu berpotensi mengancam kelangsungan Usaha Mikro Kecil dan Sederhana (UMKM) sehingga Kominfo terpaksa menyekatnya.
“Model perniagaan aplikasi Temu jelas tidak mematuhi peraturan yang ada di Inonesia, baik dari segi perdagangan mahupun ekosistem UMKM yang kita perlu lindungi dan jaga,” kata Prabunindya.
Prabunindya menjelaskan aplikasi Temu yang menjual barangan terus dari kilang boleh menyebabkan berlakunya ‘predatory pricing’ atau ‘price dumping’.
“Jika produk asing masuk dengan harga yang jauh lebih murah daripada produk UMKM, sudah pasti pengguna akan memilih yang lebih murah. Ini menjadikan UMKM kita sukar bersaing,” ujarnya.
Sementara itu, Budi memaklumkan, kerajaan juga sedang merancang untuk meminta sekatan yang sama terhadap perkhidmatan membeli-belah dari China iaitu Shein.
Sebelum ini, Indonesia telah memaksa ByteDance, pemilik platform media sosial milik China, TikTok untuk menutup perkhidmatan e-dagangnya di negara itu tahun lalu atas alasan untuk melindungi peniaga tempatan dan data pengguna.
Beberapa bulan kemudian, TikTok bersetuju untuk membeli kepentingan majoriti dalam unit e-dagang konglomerat teknologi Indonesia, GoTo untuk kekal di pasaran e-dagang terbesar di Asia Tenggara.
Sumber: TransparanNews, Kominfo