85% libat rakyat tempatan!
Data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan 85 peratus kes tuberkulosis (tibi) di negara ini melibatkan rakyat tempatan, manakala hanya 15 peratus berkaitan warga asing, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau menegaskan, persepsi yang mengaitkan penularan tibi dengan kemasukan warga asing adalah tidak tepat.
“Ini bermakna risiko penularan dalam komuniti kita adalah nyata dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Kes Tibi, 85% Libat Rakyat Tempatan
Menurut Dzulkefly, tibi bukan fenomena baharu dalam landskap kesihatan awam, sebaliknya telah lama wujud dan kekal sebagai penyakit endemik yang memerlukan perhatian serius.
Tegasnya, penyakit itu bukan sahaja isu klinikal, malah turut dipengaruhi faktor sosioekonomi seperti kesesakan penempatan dan kekurangan zat makanan.
“Kuman Mycobacterium Tuberculosis ini sangat degil, namun berita baiknya, ia boleh dicegah, boleh dirawat, dan boleh sembuh sepenuhnya jika dikesan awal serta pesakit patuh kepada rejimen rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya.
Beliau menyeru masyarakat agar cakna terhadap gejala seperti batuk melebihi dua minggu, demam atau berpeluh waktu malam, serta susut berat badan, dan segera mendapatkan pemeriksaan serta rawatan di klinik.
Artikel lain: Virus Nipah: KKM Kekal Siap Siaga, Tiada Kes Dilaporkan Di Malaysia
Dalam pada itu, Dzulkefly turut menasihatkan supaya orang ramai tidak memulaukan pesakit, kerana sokongan emosi daripada keluarga dan komuniti merupakan kunci untuk pesakit melengkapkan rawatan.
Sebagai langkah pencegahan, beliau menekankan kepentingan imunisasi Bacillus Calmette–Guérin (BCG) untuk kanak-kanak, mengamalkan gaya hidup sihat, dan memastikan pengudaraan rumah yang baik bagi mengurangkan risiko penularan tibi.
Sumber: FB Dr Dzulkefly Ahmad














































