Tujuh kapal tangki milik syarikat Malaysia kini menunggu isyarat untuk melalui laluan selamat di Selat Hormuz susulan situasi keselamatan yang tegang di Asia Barat.
Tiada isu untuk kapal kita teruskan perjalanan
Memetik laporan daripada Bernama, Menteri Luar, Mohamad Hasan menyatakan kapal melibatkan syarikat seperti Petronas dan Sapura Energy itu tidak ditahan, sebaliknya menunggu masa sesuai untuk bergerak bagi memastikan pelayaran selamat.
“Saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi rakan sejawat dan mereka memaklumkan tiada isu untuk kapal kita meneruskan perjalanan namun kapal tangki perlu tunggu giliran.
“Jadi kita nak betul-betul pastikan semuanya selamat sampai kerana Selat Hormuz amat tegang, dengan banyak kapal nak keluar. Jika komunikasi kalau tak dibuat dengan baik, akan menyebabkan insiden tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Rantau.
Iran beri maklum balas positif
Menurutnya, kerajaan Iran turut memberi maklum balas positif terhadap permohonan Malaysia untuk membenarkan kapal-kapal berkenaan meneruskan perjalanan.
“Kadangkala arahan daripada Tehran tidak sampai ke Selat Hormuz kerana komunikasi dalam keadaan perang adalah mencabar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan komunikasi dengan rakyat Malaysia di Iran agak terhad ketika ini susulan gangguan sistem, namun keadaan mereka terus dipantau.
Beliau turut berkata tiada halangan untuk menunaikan umrah kerana ruang udara Arab Saudi masih dibuka, namun orang ramai disaran menangguhkan perjalanan jika tiada keperluan mendesak berikutan situasi tidak menentu.







































