Seorang lelaki tampil memberi penjelasan susulan tular insiden membabitkan sebuah Toyota Alphard dan penunggang motosikal di Taman Johor Jaya di Johor Bahru yang berakhir dengan kenderaan itu terjatuh ke dalam longkang.
Menurut laporan Ilifepost, individu yang dikenali sebagai Ah Heng berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isterinya sedang menunggu pintu pagar automatik rumah mereka dibuka, namun pemandu MPV berkenaan dipercayai tidak sabar sehingga tercetus pertengkaran.
Artikel lain: Siap Bawa Teman Wanita? Kereta GT-R Rupanya Sewa, Disita JPJ Atas Dua Kesalahan
Menurutnya, pemandu Alphard itu hampir melanggar isterinya sebelum berlaku pertikaman lidah antara mereka di hadapan rumah berkenaan.
“Dia yang mula cari pasal. Saya dan isteri sudah lapan tahun bersama. Dia hampir melanggar isteri saya, sebab itu saya jadi marah,” katanya.
Ah Heng berkata, keadaan menjadi semakin tegang apabila pemandu terbabit meninggalkan lokasi, namun berpatah balik tidak lama kemudian dan mencetuskan pergaduhan.
“Sebenarnya saya dah nak mengalah, tapi dia buat pusingan U dan datang datang balik untuk cari gaduh. Saya mengaku kalau pukul orang tu memang salah. Tapi kalau melibatkan isteri sendiri, memang saya tak boleh terima,” ujarnya.
Dia turut mendakwa pemandu MPV tersebut bersikap kasar, mengeluarkan kata-kata kesat serta menyumpah keluarganya, walaupun mereka tidak saling mengenali.
“Kami tak pernah kenal antara satu sama lain. Dia pun tak boleh nak sabar langsung. Autogate saya tu cuma perlukan lima saat ja nak buka. Lagi pun saya sebenarnya nak pergi kerja syif malam, tapi dia patah balik nak cari pasal,” tambahnya.
Terdahulu, satu video berdurasi 31 saat tular di media sosial memaparkan sebuah Toyota Alphard melanggar motosikal sebelum mengundur dan terjatuh ke dalam longkang.
Tidak lama kemudian, satu lagi video berdurasi 55 saat turut tersebar, menunjukkan pemandu Alphard dan penunggang motosikal bergaduh di tengah jalan, dengan beberapa orang awam cuba meleraikan keadaan.
Rakaman lain pula menunjukkan penunggang motosikal membuka pintu belakang Alphard dan menyerang pemandu, dipercayai menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan itu bersama kedua-dua individu terjatuh ke dalam cerun.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5.58 petang Khamis di Jalan Gong Badak 1, Taman Johor Jaya.
Sementara itu, polis mengesahkan seorang pemandu MPV jenis Toyota Vellfire telah ditahan selepas dipercayai melanggar seorang penunggang motosikal sehingga cedera dalam kejadian berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Vikra Mathitthan, berkata lelaki tempatan berusia 18 tahun itu ditahan pada jam 9.40 malam Khamis bagi membantu siasatan.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 506, 160 dan 182 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.
“Siasatan turut dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seri Alam kerana suspek didapati memandu secara melulu serta membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian ini,” tambahnya.
Sumber: Ilifepost & Facebook @原来是这样 new 保护人民







































