Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesahkan penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang didakwa memijak al-Quran dan menghina Rasulullah SAW tidak mempunyai rekod pendaftaran pengislaman di negeri itu.
Ketua Pendaftar Mualaf Pahang, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, semakan dalam pangkalan data mendapati nama individu terbabit tidak tersenarai sebagai mualaf berdaftar di bawah seliaan pihaknya.
Menurutnya, pemeriksaan silang turut dibuat dengan pihak berkuasa agama di beberapa negeri bagi mendapatkan pengesahan lanjut.
“Setakat ini, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur turut mengesahkan tiada rekod pengislaman bagi penuntut berkenaan.
“Bagi negeri-negeri lain, kami masih belum menerima maklum balas rasmi berhubung status pendaftarannya,” katanya, hari ini.
Dr Asmadi berkata, pihaknya juga telah menghubungi pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pendedahan yang dibuat sebelum ini.
“Beliau masih belum memberikan sebarang maklum balas,” ujarnya.
Isu status agama pelajar berusia 21 tahun itu mula menjadi perhatian selepas Firdaus mendakwa lelaki berkenaan pernah melafazkan syahadah di hadapannya pada 25 April tahun lalu.
Menurutnya, lelaki terbabit sebelum ini berhubung dengannya melalui Instagram dan bersungguh-sungguh meminta dibimbing untuk memeluk Islam.
Artikel lain: Kes Pijak Al-Quran: Keluarga Tak Tahu Dakwaan Anak Peluk Islam
Pada 25 Februari lalu, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di laman sosial.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.











































