Polis sedang memburu sepasang suami isteri yang dipercayai melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Langat, Batu 12, Jalan Kuari Sungai Long, Kajang pagi Selasa.
Suami isteri larikan diri
Menurut laporan Harian Metro, kenderaan jenis Perodua Alza itu dipercayai disewa seorang lelaki tempatan dari sebuah syarikat kereta sewa di Seri Kembangan untuk digunakan pasangan tersebut.
Apa yang mengejutkan, sebaik kereta berjaya dinaikkan dari sungai malam ini, pihak berkuasa menemui sejumlah besar kabel halus di bahagian tempat duduk belakang kenderaan, dipercayai kabel curi.

Foto: Harian Metro
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.30 pagi.
Saksi awam memaklumkan terdengar bunyi bising sebelum melihat dua individu seorang lelaki dan seorang wanita yang keluar dari kereta tenggelam tersebut dan berenang ke tebing sebelum menghilangkan diri.
Artikel lain: Lima Termasuk Suami Isteri Disambung Reman, Kes Sorok Pil Kuda Dalam Najis Lembu Di Kelantan
“Hasil semakan mendapati kereta tersebut telah disewa oleh seorang lelaki tempatan dan seterusnya dipinjamkan kepada pasangan suami isteri terbabit. Polis kini sedang mengesan mereka bagi membantu siasatan dan mengenal pasti tujuan sebenar penggunaan kenderaan itu,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan oleh polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan tiada mangsa terperangkap dalam kenderaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan jam 10.29 pagi mengenai sebuah kenderaan terjunam ke dalam sungai sedalam 1.5 meter.
“Tiada individu dijumpai di dalam kereta ketika operasi menyelamat dijalankan,” ujarnya.
Difahamkan, kereta tersebut dikesan melalui sistem GPS berada di Temerloh, Pahang sebelum masuk ke kawasan tersembunyi berhampiran Kampung Sungai Long.

Foto: Harian Metro
Kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu gagal mengawal kenderaan semasa melalui jalan berbukit di kawasan itu.
Berikutan insiden tersebut, pemilik kereta sewa telah membuat laporan polis dan mengatur trak penunda untuk mengangkat kenderaan berkenaan.
Polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai pasangan tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Ketua Polis Balai Batu 14 Hulu Langat di talian 019-2642499.
Sumber: Harian Metro (Noor Hidayah Tanzizi)
