Seorang penganggur berusia 28 tahun ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan kes pembunuhan terhadap isterinya di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, pada Khamis.
Kes simpan mayat isteri
Menurut laporan Sinar Harian, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret J Savinder Singh bagi membolehkan polis menyiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang memakai baju lokap polis tiba di mahkamah sekitar jam 8.45 pagi dengan diiringi anggota polis.

Foto: Sinar Harian
Semalam, media melaporkan suspek dipercayai menyimpan mayat isterinya selama empat hari selepas membunuh wanita berkenaan di kediaman mereka.
Kejadian terbongkar apabila suspek sendiri membuat laporan polis mengenai insiden itu pada pagi Khamis.
Mayat wanita berusia 44 tahun itu ditemui di tingkat dua pangsapuri mereka, dalam keadaan terlentang dan masih berpakaian lengkap di atas tilam.

Foto: Media sosial
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, memaklumkan bahawa pasukan forensik telah mengambil beberapa sampel di lokasi, termasuk pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.
Artikel lain: Kes 2 Beranak Tak Bernyawa Di Juru: Suami Direman Tujuh Hari Bantu Siasatan
Mayat wanita tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Foto: Media sosial
Helmi berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif dan punca kejadian.
Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan jika mempunyai maklumat mengenai kejadian ini, diminta tampil ke IPD Seberang Perai Tengah atau balai polis berhampiran.
Sumber: Sinar Harian (Mohd Iskandar Othman)







































