Polis sedang menyiasat tindakan beberapa peserta Himpunan Turun Anwar yang membawa dan menyebat patung menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan di ibu negara pada Sabtu lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kes tersebut kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Siasatan dibuat di bawah Seksyen 41 Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Foto: malaymail
“Polis telah mengesan patung berkenaan di kawasan Masjid Negara dan mengambil rakaman video sebagai bahan bukti. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang di bawah mana-mana akta akan diambil tindakan,” katanya.
Artikel lain: Firdaus Wong Tidak Setuju Himpunan Turun Anwar, Seru Fikir Kesan Jangka Panjang
Menurut beliau, empat laporan polis telah menerima berhubung perhimpunan tersebut. Satu laporan melibatkan patung mirip Perdana Menteri disiasat oleh USJT, manakala tiga lagi dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kerana membabitkan penggunakaan dron.
Beliau menegaskan penggunaan dron adalah dilarang sama sekali semasa perhimpunan berlangsung.

Foto: TT @harunmohdshah
Bagaimanapun, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan penyebaran risalah berunsur ekstremis semasa himpunan tersebut.
“Setakat ini tiada laporan diterima. Jika ada, kita akan jalankan siasatan,” ujarnya.
Himpunan Turun Anwar yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu dianggarkan dihadiri kira-kira 18,000 orang. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan, semua elemen kawalan keselamatan telah dilaksanakan secara profesional dan beretika.
PDRM turut menempatkan anggota untuk memantau dan mengawal keselamatan di beberapa lokasi tumpuan, termasuk sekitar Masjid Negara, pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni dan Dataran Merdeka bagi memastikan kelancaran himpunan tersebut.
Sumber: Sinar Harian (Muhammad Afham Ramli)
