Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bertindak di luar kawalan apabila menoreh bahagian belakang dan lengan kiri bapanya dengan pisau selepas ditegur kerana ponteng sekolah.
Tidak puas hati selepas ditegur
Menurut laporan Berita Harian, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 6.10 petang di rumah mereka di Batu 4, Jalan Gombak, kelmarin.
Difahamkan, suspek dan bapanya bertengkar selepas remaja tersebut tidak berpuas hati dengan teguran yang diberikan.
Menurut sumber, remaja itu bertindak agresif sebelum melibas pisau ke arah bapanya hingga menyebabkan kecederaan.
Artikel lain: Dendam Dipaksa Belajar Jadi Punca Calon SPM Habiskan Nyawa Ibu & Abang
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim, mengesahkan menerima laporan berhubung insiden tersebut pada jam 6.42 petang.
Beliau berkata, kejadian itu berpunca daripada salah faham antara anak dan bapa hingga menyebabkan mangsa, berusia 47 tahun, mengalami luka pada bahagian belakang badan dan lengan kiri.
“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Suspek pula ditahan sejurus selepas kejadian, dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Remaja berkenaan kini direman selama tiga hari, bermula semalam hingga esok, bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber: Berita Harian ( Muhaamad Hafis Nawawi)







































