Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dilaporkan akan menaja seramai 1,000 jemaah haji Palestin terdiri daripada keluarga syuhada, tahanan dan mangsa yang cedera untuk menunaikan ibadah haji dan segala kos perbelanjaan akan ditanggung oleh baginda sendiri.
Raja Salman taja rakyat Palestin tunai haji

Foto: BBC
Menurut laporan Saudi Gazette, tajaan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan merangkap Penyelia Umum program, Sheikh Abdullatif Al-Sheikh mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, kerana sudi memberikan sumbangan untuk tajaan tersebut.

Foto: The Cognate
Beliau menganggap titah itu sebagai keprihatinan kerajaan Arab Saudi dalam mengingati rakyat Palestin serta memperkukuhkan hubungan persaudaraan umat Islam.
Abdullatif juga berkata bahawa kementerian telah mula menjalankan pelan menyeluruh, memastikan segala kemudahan yang diperlukan oleh jemaah Palestin dapat disediakan dengan baik.
Pelan ini diguna pakai bermula sejak jemaah meninggalkan Palestin hingga kembali semula ke tanah air mereka dalam satu sistem yang lengkap sepanjang keberadaan di Makah dan Madinah.
Artikel lain: Raja Salman Undang 1,000 Warga Palestin Ke Tanah Suci Tunaikan Haji
Untuk rekod, sejak program ini dimulakan pada tahun 1417 Hijrah, seramai lebih 64,000 jemaah haji dari pelbagai negara telah ditaja menunjukkan usaha berterusan kerajaan Arab Saudi dalam memperjuangkan Islam dan umat Islam serta memperkukuh kedudukannya sebagai pusat dunia agama suci itu.
Sumber: Saudi Gazette
