Polis Tahan Lelaki Ugut Dr Jessie Hiu!
Seorang lelaki warga emas yang mengugut pakar patologi, Dr Jessie Hiu, berkaitan kes Zara Qairina Mahathir, ditahan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada Ahad.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 pagi.
Tangkapan dibuat susulan kenyataannya di laman Facebook menggunakan akaun bernama Amung Kamaruddin yang berunsur ugutan jenayah serta penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian terhadap seorang pakar patologi di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu.
“Pihak polis telah membuat tangkapan terhadap lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes tersebut dan turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit.
“Hasil semakan terhadap gajet tersebut mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Polis Tahan Lelaki Ugut Dr Jessie Hiu
Sehubungan itu, Jauteh menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.
Tegas beliau, PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut.
Artikel lain: Inkues Zara Qairina: Polis Sahkan Laporan Dr Jessie Hiu, Terima Ugutan Dari Netizen
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan daripada pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang mendakwa menerima ugutan susulan keterangannya dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner.
Ketika memberi keterangan, Dr Hiu menyatakan adalah tidak mungkin Zara terjatuh atau ditolak, sebaliknya mangsa mungkin melompat atau berayun dari tempat tinggi sebelum mendarat pada kaki kirinya sehingga daya hentakan bergerak ke arah atas badan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan sama ada Zara melompat dengan kehendaknya sendiri terpulang kepada mahkamah.
Keterangan itu mencetuskan kritikan hebat di media sosial hingga ada netizen melemparkan kata-kata kesat, namun peguam keluarga Zara, Hamid Ismail, tampil mempertahankan Dr Hiu.
Untuk rekod, Dr Hiu, 58, berkhidmat di Hospital Queen Elizabeth sejak 1998 dan menyelia sehingga 150 bedah siasat setahun selain memberi keterangan pakar di mahkamah.
Sumber: FB Polis Sabah
