Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan berkaitan perbuatan mencemarkan al-Quran dan memuat naik kandungan komunikasi yang bersifat jelik melampau.
Penuntut mengaku tidak bersalah cemar al-Quran
Menurut laporan Bernama seperti dilaporkan FMT, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), S. Vikneswaran, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana memijak al-Quran dengan pengetahuan bahawa perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap agama Islam.
Artikel lanjut: Kes Pijak Al-Quran: Penuntut Didakwa Dalam Masa Terdekat
Dia juga berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana didakwa membuat serta memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau melalui aplikasi Threads dengan niat untuk menyakitkan hati pihak lain.
Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, pada 25 Februari lalu, seorang pelajar UMPSA ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memijak al-Quran.
Semalam, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman memaklumkan bahawa sebanyak 82 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan insiden berkenaan dan siasatan mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan terhadap suspek.
Sumber: FMT








































