Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang lagi pegawai pengurusan tertinggi tentera kini disiasat berhubung kes rasuah membabitkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan dijangka akan dituduh dalam masa terdekat.
Pegawai pengurusan tertinggi tentera disiasat kes rasuah
Memetik laporan daripada Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan siasatan terhadap individu terbabit sudah berada di peringkat akhir dan akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.
“Kerana ini satu perkara yang tidak boleh dibiarkan. Kalau saya tidak ambil tindakan akan timbul persepsi dan kedua saya akan berasa bersalah apabila tanggungjawab saya tidak tertunai.
Seolah-olah kes besar lepas kes kecil tidak lepas… ini adalah ketidakadilan,” katanya.
Pegawai pengurusan tertinggi tentera akan terus dituduh
Menurut Azam, beliau berpandangan keadilan perlu dilaksanakan tanpa mengira pangkat, malah pegawai kanan yang terlibat akan terus dituduh tanpa dilengah-lengahkan.
“Tetapi pandangan saya keadilan ini bergantung pada situasi, dalam hal ini semakin besar pangkatnya jika dia melakukan kesalahan kena bawa ke mahkamah.
Beliau (pegawai tertinggi) akan dituduh terus. Saya akan minta AG (Peguam Negara) cadangan untuk menuduh, setakat tangkap itu tangkaplah tetapi lepas tangkap kita tidak mahu simpan lama sebaliknya akan terus dituduh,” katanya.
Artikel lain: Kes Tender Tentera Darat: Bekas PTD Hadir Di Ibu Pejabat SPRM Beri Keterangan
Azam turut memaklumkan siasatan kes ini adalah berasingan daripada kes membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), manakala jumlah wang rasuah terlibat masih belum boleh didedahkan.
Difahamkan, kes yang disiasat juga berlainan dengan siasatan yang dijalankan terhadap bekas Panglima Tentera Darat (PTD).
Sumber: Harian Metro (Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Muhaamad Hafis Nawawi dan Suharmin Yusuf)









































