Sebanyak 11 lori kargo bantuan kecemasan daripada Kempen The Rightful Gift berjaya menembusi sempadan Rafah ke Gaza pada Rabu, menyalurkan barangan asas kepada keluarga yang paling terkesan akibat serangan besar-besaran sejak Oktober 2023.
Kempen The Rightful Gift merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia
Menurut Pengarah Kempen The Righful Gift, Muhd Farhan Bin Muhd Fadhil, setiap lori membawa barangan asas seperti makanan, gandum, keperluan perubatan, susu, diaper, pakaian, selimut, kayu api dan khemah, dengan nilai keseluruhan RM2.8 juta.
Dalam tempoh dua bulan (Oktober & November), jumlah bantuan yang diagihkan mencapai RM4.4 juta, memberi manfaat kepada hampir 80,000 penduduk Gaza.
Keadaan di Gaza masih kritikal walaupun gencatan senjata diumumkan pada 10 Oktober 2025. Lebih 70,000 orang terkorban, majoritinya wanita dan kanak-kanak, manakala kira-kira 2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, hidup dalam khemah tanpa sumber air bersih.
Artikel lain: “Kami Tak Pernah Anggap Hero..”- Musa Nuwayri Tegaskan Misi GSF Bukan Untuk Kemasyhuran
Hospital, sekolah, masjid, dan infrastruktur asas lain masih rosak, sementara rakyat Gaza terus berdepan krisis makanan, ubat-ubatan, pendidikan, dan keperluan harian akibat sekatan berterusan.
“Kami bersyukur kerana lori-lori bantuan ini berjaya menembusi sempadan dan dapat terus sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
“Ini adalah hasil usaha bersama rakyat Malaysia dan Nusantara, yang tidak putus-putus mendoakan dan menyumbang sejak Oktober 2023.” katanya.
Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini meluluskan Pelan Damai Trump bagi Gaza, termasuk gencatan senjata, pengunduran tentera Israel, pertukaran tawanan, dan penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa.
Bagaimanapun, pihak kempen menegaskan bahawa sebarang pelan damai tidak boleh mengabaikan suara rakyat Palestin sendiri.
“Kita tidak boleh menjadi neutral ketika rakyat Gaza terus menderita. Setiap usaha untuk menyuarakan kebenaran dan membantu mereka adalah tanggungjawab moral dan kemanusiaan,” ujarnya.
Kempen ini juga membuka gudang bantuan di Gaza bagi memudahkan koordinasi penghantaran dan pengagihan.
Dengan perkembangan positif laluan bantuan, penghantaran 50 lori kargo dijangka dalam Fasa Pertama sehingga akhir Mac 2026, dan bantuan akan diteruskan tanpa henti.
“Setiap lori yang masuk membawa harapan baru kepada keluarga di Gaza. Walaupun cabaran besar masih ada, kami bertekad memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan, terutama menjelang musim sejuk dan Ramadan yang bakal tiba,” jelasnya.
Kempen The Rightful Gift merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia dan Nusantara sejak Oktober 2023, menunjukkan komitmen berterusan masyarakat dalam meringankan beban penduduk Gaza dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.







































