Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang remaja lelaki warga United Kingdom, David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya awal Jun lalu, dipercayai masih berada di Malaysia.
Dalam kenyataan rasmi di Facebook, PDRM memaklumkan siasatan sedang dijalankan berhubung laporan polis berkaitan kehilangan remaja berkenaan yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Foto: FB PDRM
“Siasatan awal mengesahkan remaja berkenaan telah memasuki Malaysia melalui KLIA dan dipercayai masih berada di dalam negara pada ketika ini. Siasatan lanjut sedang giat dijalankan,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi laporan di Main Terminal Building (MTB) KLIA dengan No. Repot: 4296/2025.
Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, David yang berasal dari Cheadle, Greater Manchester, memaklumkan kepada adiknya bahawa dia akan keluar awal ke sekolah pada 6 Jun lalu kerana menghadapi peperiksaan GCE Peringkat A.
Artikel lain: Terjatuh Sungai Ketika Memancing, Remaja Lelaki Ditemukan Meninggal Dunia
Namun, dia tidak kembali ke rumah dan kemudian dikesan menaiki penerbangan sehala dari Manchester ke Kuala Lumpur tanpa memaklumkan kepada sesiapa.
Kehilangannya hanya disedari apabila dia gagal dihubungi dan keluarganya mendapati dia membawa pasport miliknya, serta telefon bimbitnya juga dimatikan dan semua emel tidak dijawab.
Polis United Kingdom mengesahkan David telah berlepas seorang diri dan diberi visa selama 90 hari sebaik tiba di Malaysia dan remaja itu juga hanya mempunyai sekitar 1,200 Euro (kira-kira RM5,970) dalam akaun bank ketika meninggalkan negaranya.
Ibunya, Minerva, 50, seorang jururawat penjagaan kesihatan, meluahkan rasa terkejut dan risau terhadap kehilangan anaknya.
“Kami tidak marah, cuma mahu dia selamat. Kami sayangkan dia lebih daripada yang dia tahu,” ujarnya.
Difahamkan, David tidak mempunyai saudara-mara atau kenalan di Malaysia dan keluarganya kini melancarkan kutipan dana melalui GoFundMe untuk membiayai perjalanan dan penginapan mereka di Kuala Lumpur bagi membantu usaha pencarian.
Dalam kenyataan sama, PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Pihak berkuasa turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Hazuin Jan binti Abdul Hamid di talian 017-736 9187.
Sumber: Facebook @Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), Berita Harian (Safeek Affendy Razali)
