Pemandu SUV Mercedes Benz (kenderaan utiliti sukan) yang tular melanggar seorang penunggang motosikal sebelum kenderaannya dipercayai terbakar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan membabitkan insiden tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, Sum Kah Fei, 34, telah membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haneefa Ariffin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Pemandu SUV Mercedes Benz Mengaku Tak Bersalah
Foto: Harian Metro
Pertuduhan pertama didakwa pandu melulu
Mengikut pertuduhan pertama, peniaga itu didakwa memandu secara melulu sehingga berlaku pelanggaran dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan Muhammad Nur Faiz Saini parah.
Kejadian tersebut berlaku di sekitar Lebuhraya SPE dari arah pusat bandar ke Plaza Tol Wangsa Maju, di sini, pada jam 12.35 tengah hari, Ahad lalu.
Susulan daripada itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua kerana gagal hentikan kenderaan selepas kemalangan
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal menghentikan kenderaannya selepas terbabit kemalangan dengan motosikal ditunggang mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama pada tarikh dan masa yang sama.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibaca bersama Seksyen 119(1)(a) akta sama yang boleh dihukum denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.
Minta kurang wang ikat jamin sebab sedang alami masalah perniagaan
Pihak Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes tersebut menawarkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan, namun Peguam yang mewakili tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya sedang mengalami masalah perniagaan serta perlu menanggung keluarga.
Oleh sebab itu, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Februari 2025 bagi serahan dokumen.
Foto: Carian Google
Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang pemandu kenderaan mewah melanggar lari selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 18, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) membawa padah apabila kenderaannya terbakar tidak lama kemudian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah hari 15 Disember lalu, pemandu Mercedes GLE450 AMG dilaporkan telah melanggar penunggang motosikal jenis Honda Vario 160 yang sedang bergerak lurus di lorong kiri, berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa memaklumkan, pemandu berusia 34 tahun tidak memberhentikan kenderaannya selepas perlanggaran tersebut dan meninggalkan penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah.
Foto: Carian Google
Artikel lain: DJ Yesong Dihukum Penjara, Langgar Lari Lelaki Sehingga Maut Akibat Mabuk
Kejadian tersebut telah menyebabkan penunggang motosikal tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, dan perut.
Video kemalangan itu tular di media sosial yang mana ia menunjukkan pemandu kereta tersebut melarikan diri dari lokasi kejadian.
Sumber: Harian Metro (Raja Noraina Raja Rahim)