Jabatan Peguam Negara (AGC) mengingatkan orang ramai bahawa sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pemaparan Jalur Gemilang secara tidak wajar sehingga menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Semua pihak perlu menghormati Jalur Gemilang
Menerusi kenyataan dibuat, AGC menegaskan semua pihak perlu bertanggungjawab menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara, selain mematuhi undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa berkaitan penggunaannya.
“AGC memandang serius sebarang perbuatan memaparkan, mengibarkan atau memasang bendera Malaysia secara tidak teratur atau tidak mengikut tatacara yang sepatutnya,” jelas kenyataan itu.
Artikel lain: Polis Terima 38 Laporan Kes Bendera Terbalik – “17 Di Pulau Pinang, 21 Lagi Negeri Lain..”
Beberapa kes Jalur Gemilang dipaparkan secara tak wajar tular
Antara kejadian yang dilaporkan termasuk pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang; pemasangan bendera terbalik di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan; paparan bendera Malaysia yang tidak lengkap dalam buku laporan keputusan SPM 2024; serta paparan bendera tidak lengkap di akaun media sosial rasmi milik beberapa akhbar tempatan.
AGC turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat.
“Ia termasuk menyerbu premis pihak disyaki, menularkan maklumat peribadi atau membuat tuduhan melulu di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan terhadap individu atau organisasi terlibat, serta mengambil alih peranan pihak berkuasa seperti mengarah penurunan bendera atau menyita bahan terlibat tanpa kuasa undang-undang.
Segala aduan atau maklumat berkaitan hendaklah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Sumber: Facebook Jabatan Peguam Negara (AGC)
