Seorang doktor pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) terpilih menyertai pasukan perubatan khas bagi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Dalam kenyataan rasmi, IJN memaklumkan Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kegagalan Jantung, Datuk Seri Dr Azmee Ghazi, dijemput untuk memberikan khidmat kepakaran semasa prosedur perubatan yang akan dijalani baginda.
“Pemilihan Datuk Seri Dr Azmee Ghazi mencerminkan kepercayaan tinggi terhadap kepemimpinan klinikal dan kepakaran pakar IJN dalam memberikan tahap penjagaan kesihatan yang tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Pakar Jantung IJN Terpilih, Sertai Pasukan Perubatan Rawat Sultan Brunei
IJN menyifatkan jemputan tersebut sebagai pengiktirafan profesional yang amat bermakna, sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi itu sebagai pusat kecemerlangan kardiovaskular di peringkat serantau.
Ia turut menyerlahkan kepemimpinan Dr Azmee dalam bidang kardiologi lanjutan dan pengurusan kegagalan jantung, selain menekankan komitmen IJN dalam melahirkan pakar bertaraf dunia.
Institut itu juga mendoakan agar prosedur yang akan dijalani Sultan Hassanal Bolkiah berjalan lancar, serta baginda dikurniakan pemulihan yang cepat dan berterusan.
Artikel lain: Sultan Brunei Puji Kualiti Perkhidmatan, Kepakaran Petugas IJN – PM Anwar
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan pada 18 Januari.
Sebelum ini, pada 14 Januari, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menitipkan doa kesejahteraan kepada baginda menerusi hantaran di Facebook.
Sumber: FB Institut Jantung Negara










































