Malaysia akhirnya berjaya menamatkan penantian selama 12 tahun untuk merangkul kejuaraan dalam kategori beregu lelaki di kejohanan badminton Masters Malaysia apabila dua wakil negara berjaya menempah tiket ke final.
Menurut laporan Astro Arena, gandingan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakar kejutan apabila menewaskan pasangan pilihan utama dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam perlawanan separuh akhir yang penuh mendebarkan sebentar tadi.

Foto: The Star
Pertembungan antara juara Asia dan pasangan ranking nombor satu dunia itu menyaksikan pertarungan sengit tiga set, disambut sorakan gemuruh penyokong tempatan di Axiata Arena.
Aaron-Wooi Yik memulakan permainan dengan cemerlang apabila meraih kemenangan set pertama 21-19 dalam tempoh 21 minit. Namun, wakil Denmark bangkit dalam set kedua dan mempamerkan aksi bertenaga untuk mengheret perlawanan ke set penentuan selepas menang 21-17.
Tidak goyah dengan tekanan, pasangan negara kembali menemui rentak dalam set ketiga dan menguasai gelanggang sepenuhnya sebelum mengesahkan kemenangan 21-15.
Kejayaan ini bukan sahaja membawa mereka ke pentas final, malah turut mengesahkan gelaran juara menjadi milik Malaysia apabila mereka bakal bertemu rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam ‘perang saudara’ di aksi akhir esok.

Foto: MSN
Kali terakhir Malaysia menjulang gelaran beregu lelaki di kejohanan ini adalah pada tahun 2013 menerusi pasangan Goh V Shem-Lim Khim Wah.
Dengan prestasi cemerlang ditampilkan Aaron-Wooi Yik dan Man-Tee, peminat sukan badminton tanah air boleh menantikan satu lagi detik bersejarah yang bakal mengukuhkan dominasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sumber: Astro Arena (Najmi Iman)
