Seorang majikan wanita yang merupakan pemilik perniagaan maut ditikam pekerja yang dipercayai berpunca daripada masalah kewangan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Rasi Jaya, Menglembu, Ipoh, Perak, hari ini.
Menurut Kosmo! Online, berlaku perselisihan faham antara wanita berusia 49 tahun dengan suspek berusia 54 tahun sebelum lelaki terbabit bertindak menikam mangsa.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang juga pengusaha kedai aksesori telefon bimbit maut di lokasi kejadian.
Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 10.55 pagi yang memaklumkan berlakunya satu pergaduhan membabitkan senjata tajam.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati, mangsa yang maut merupakan seorang wanita warga tempatan manakala seorang lelaki dipercayai teman lelakinya berusia 42 tahun pula cedera,” katanya.
Mohd. Yusri berkata, dalam kejadian itu, suspek turut mengalami kecederaan dan berjaya diberkas polis dan siasatan lanjut mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.