Seramai 22 individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia selepas latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) pada 28 Julai lalu.
Kematian pegawai kadet Palapes tiada unsur penderaan
Menurut laporan Malaysia Gazette, Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman, berkata mereka yang dipanggil termasuk doktor yang membuat pemeriksaan awal, doktor yang menjalankan bedah siasat, ahli keluarga mangsa, jurulatih serta rakan-rakan yang turut terlibat dalam sesi latihan berkenaan.

Foto: Harian Metro
Menurutnya, pihak polis kini menunggu laporan Jabatan Kimia Hospital Kota Tinggi (HKT) yang dijangka siap dalam tempoh sebulan bagi melengkapkan keputusan bedah siasat.
Artikel lain: Jawatankuasa Khas Ditubuhkan Siasat Semula Kes Pelatih PALAPES UTM
“Laporan itu akan menentukan punca sebenar kematian pegawai kadet berkenaan sebelum siasatan disiapkan. Bedah siasat telah dilakukan sehari selepas kejadian dan tiada keperluan menahan mayat sebelum diserahkan kepada keluarga kerana proses siasatan di peringkat tersebut telah selesai,” katanya.
Tambahnya, kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk diteliti sama ada sudah lengkap atau memerlukan siasatan tambahan.
Ab Rahman memaklumkan, kes itu mendapat perhatian Bukit Aman yang mengarahkan agar siasatan dijalanakan dengan teliti dan dipercepatkan.
“Polis Johor menjangkakan siasatan dapat diselesaikan dalam masa sebulan sebelum dirujuk ke Bukit Aman dan Jabatan Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, laporan media hari ini memetik hasil siasatan jawatankuasa khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mendapati tiada unsur penderaan dalam insiden kematian pegawai Palapes tersebut.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada perlakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang latihan yang berlangsung dari 27 Julai hingga 2 Ogos, selain mematuhi prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, sebelum ini menggesa supaya bedah siasat kedua dilakukan dan bersedia untuk kubur anaknya digali semula demi mengetahui punca sebenar kematian.

Foto: BH
Beliau memaklumkan permohonan itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.
Pada 1 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci termasuk merakam percakapan saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pastu punca sebenar insiden berkenaan.
Sumber: Malaysia Gazette (Zulhisham Isahak)
