Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor menafikan dakwaan tular bahawa seorang murid dihalang daripada menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan menegaskan komitmen memastikan tiada calon tercicir dalam peperiksaan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, JPN Johor memaklumkan bahawa siasatan mendapati murid berkenaan berhenti sekolah pada 2024 atas permintaan penjaga bagi membolehkan beliau mengikuti bidang kemahiran.
“Dapatan utama siasatan mendapati murid berhenti sekolah pada tahun 2024 atas permintaan penjaga untuk mengikuti bidang kemahiran dan tindakan pemulihan telah diberikan oleh pihak sekolah berkenaan isu buli,” menurut kenyataan itu.
JPN Johor Nafi Halang Murid Ambil SPM
Tambah kenyataan itu, perjumpaan khas antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan penjaga mencapai persetujuan bahawa murid tersebut akan menduduki SPM pada 2026, manakala Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah membantu urusan pendaftarannya sebagai calon.
Artikel lain: Calon SPM Nangis Keluar Dewan Peperiksaan, Terima Khabar Bapa Meninggal Dunia
Kenyataan itu turut memaklumkan GIATMARA menawarkan tajaan penuh pengajian selama enam bulan bermula Januari 2026, manakala Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) daerah menanggung kos sewaan bilik untuk tempoh sama bagi memastikan murid dapat mengikuti program kemahiran.
JPN Johor merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, GIATMARA dan PIBKS atas sokongan yang diberikan kepada murid tersebut.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa JPN Johor komited memastikan tiada murid tercicir daripada menduduki SPM.









































