Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya dana tambahan kepada FAM dihentikan sementara sehingga keyakinan terhadap pengurusan persatuan itu pulih sepenuhnya.
Mungkin tak dapat dana tambahan
Memetik laporan daripada Berita Harian, Hannah Yeoh menyatakan cadangan itu dibuat demi memastikan fokus pembangunan atlet tempatan tidak terganggu.
“Buat masa ini, saya hanya boleh mencadangkan supaya tiada lagi dana tambahan disalurkan. Fokus dahulu kepada membantu pasukan kebangsaan dan memastikan penambahbaikan dijalankan,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Cadangan henti dana tambahan berhubung kontroversi
Cadangan itu timbul susulan kontroversi dakwaan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang mencetuskan perbahasan hangat dalam kalangan ahli parlimen, sekali gus menimbulkan persoalan tentang reputasi negara.
Dalam masa sama, Hannah menyarankan agar semua permohonan naturalisasi atlet selepas ini dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Sukan Negara (MSN), memandangkan program pembangunan seperti NFDP sudah melahirkan ramai bakat berkualiti.
Katanya, MSN lebih memahami keperluan pasukan sebelum mana-mana pemain warisan dicadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri.
Artikel lain: Demi Keadilan! FAM Nekad, Terus Perjuang Hak Pemain Walau Rayuan Ditolak FIFA
Beliau menjelaskan bahawa kelab tetap dibenarkan mendapatkan pemain naturalisasi kerana ia mengikut ketetapan FIFA, namun perlu memastikan proses dijalankan secara teratur agar isu kontroversi tidak berulang.
Hannah turut mengingatkan bahawa sesi libat urus bersama kelab profesional pernah diadakan pada November lalu untuk memaklumkan perkara tersebut.
Ujarnya, dua cadangan ini menjadi langkah awal yang akan diambil KBS sementara siasatan penuh diteruskan bagi memperkukuh integriti bola sepak negara.








































