Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi menterinya, YB Fadhlina Sidek telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu Menteri Pendidikan bagi tahun 2024 dengan Dasar Pendidikan Digital menjadi teras utama.
Amanat yang disampaikan beliau pastinya menyalakan harapan ibu bapa serta masyarakat yang ingin melihat reformasi dalam bidang pendidikan agar lebih maju kehadapan.
Daripada lima inisiatif atau Prakarsa Pendidikan Madani yang disebut dalam Amanat beliau, prakarsa keempat iaitu Membina Ekosistem Pendidikan Digital adalah selari dengan tuntutan semasa.
Selain menjadi salah satu langkah utama dalam menyokong agenda pendigitalan yang ditekankan oleh Kerajaan MADANI, dasar ini juga selari dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang dilancarkan tahun lalu.
Pihak KPM sendiri telah menyediakan beberapa inisiatif berhubung dasar pendigitalan ini sekali gus dapat mengiktiraf pelbagai pihak, misalnya Pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), yang mendapat Recognition of Excellence 2023 daripada OpenGovAsia, Special Mention: The Inter-Agency Award oleh GovInsider, dan Learning Pioneer Country Award 2024-2025 daripada UNICEF.
Hal ini membuktikan bahawa komitmen KPM dalam menyediakan sumber pendidikan berkualiti melalui DELIMa sangat tinggi.
Paling utama, DELIMa tidak hanya menyediakan pelbagai sumber pendidikan digital terkini, tetapi turut merangkumi akses kepada alat kecerdasan buatan seperti Bard, Perplexity, Claude, Conker, dan Chat GPT.
KPM juga sama sekali tidak melupakan isu akses pendigitalan di kawasan luar bandar dengan memperkasa akses kepada sumber pembelajaran digital di kawasan luar bandar serta pedalaman melalui inisiatif memperkasa Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP).
Sebagai Pusat Kecemerlangan, PKG dan SSTP akan diberi peralatan dan perkakasan studio digital serta hab penghasilan digital pada Disember 2023.
Dengan adanya langkah ini, penggunaan Pusat Kecemerlangan sebagai pusat untuk peningkatan kompetensi digital murid dan guru, hab pembangunan kandungan digital berkualiti, serta wadah percambahan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran boleh disemarakkan.
Dalam meningkatkan penggunaan teknologi dan inovasi, Advance Integrated NILAM System (AINS) dibangunkan melalui Program MyHackathon Kohort 2/2022 yang dipacu oleh MOSTI dan Cradle Fund Sdn Bhd sebagai agensi pelaksana.
Untuk lebih jelas, AINS ini merupakan aplikasi mudah alih yang direka bagi memudahkan murid merekod bahan bacaan berasaskan teknologi bagi menggantikan sistem perekodan membaca murid secara manual iaitu NILAM yang telah digunakan sejak tahun 1999.
AINS dilengkapi dengan permainan, penilaian dan cadangan bahan bacaan. Aplikasi interaktif ini membolehkan murid mendapatkan mata ganjaran yang boleh ditebus bagi menggalakkan mereka membaca.
Ini bermakna murid atau ibu bapa tidak perlu bersusah payah mencatat bahan bacaan mereka secara manual.
Melalui AINS juga, pihak ibu bapa, guru, pentadbir pada peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM dapat memantau status dan tahap pencapaian NILAM murid pada peringkat bilik darjah, aliran, sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan melalui dashboard yang disediakan.
Perkara ini tentu dapat menggalakkan budaya membaca yang lebih aktif serta menyumbang kepada keintelektualan negara.