Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan Program Bicara Intelektual 2026: Kepimpinan Intelektual dalam Era Digital dan Inovasi yang menghimpunkan pemimpin, penjawat awam, warga akademik serta masyarakat umum dalam usaha memperkasa budaya ilmu dan pemikiran kritis berdepan cabaran dunia digital.
Bicara Intelektual 2026 tampilkan pengasas Naluri Hidup
Program yang berlangsung di Auditorium PNM, Aras 2, Anjung Bestari itu turut disiarkan secara langsung menerusi PNM TV Channel dan menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengasas Naluri Hidup Sdn. Bhd., YBrs. Encik Azran Osman Rani sebagai penceramah jemputan utama.
Menerusi program tersebut, beliau telah berkongsi pandangan serta pengalaman mengenai kepimpinan berasaskan ilmu, inovasi korporat, kesejahteraan mental dan daya tahan organisasi dalam persekitaran yang semakin dinamik.
Bicara Intelektual 2026 inisiatif PNM sediakan platform perkongsian ilmu
Difahamkan, penganjuran program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan PNM dalam menyediakan platform perkongsian ilmu yang signifikan kepada masyarakat, selaras dengan pelaksanaan Sustainable Development Goals (SDG) UNESCO SDG 4: Pendidikan Berkualiti.
Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, inovasi serta pemikiran strategik sebagai asas pembangunan modal insan negara.
Artikel lain: PNM Angkat Warisan Dalam Ekspedisi Legasi Manuskrip & Karya Agung Melayu 2025
Selain itu, program berkenaan turut mempromosikan PNM sebagai institusi ilmu yang menawarkan sumber maklumat sahih, berwibawa dan relevan dengan keperluan semasa.
Pada masa yang sama, ia juga menggalakkan penggunaan koleksi perpustakaan berkaitan kepimpinan, teknologi dan pembangunan mampan dalam kalangan masyarakat.
Dapat dilihat bahawa, PNM sangat komited untuk terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju budaya keilmuan negara melalui penganjuran program intelektual yang inklusif dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi melahirkan masyarakat berilmu, berdaya saing serta berdaya tahan ke arah pembentukan negara MADANI yang progresif dan berteraskan ilmu.







































