Tiga pempengaruh media sosial memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai selepas dikecam berhubung video tular yang memaparkan mereka memberikan sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan.
Menurut laporan Malaysiakini, video berdurasi 1 minit 20 saat yang tular awal hari ini menunjukkan tiga lelaki muda sedang menjamu selera di sebuah restoran makanan segera sebelum meletakkan tulang ayam ke dalam sebungkus nasi.

Foto: IG capricedaddycap
Bungkusan itu kemudiannnya diberikan kepada seorang lelaki gelandangan yang berbaring di lorong berhampiran.
Rakaman turut memaparkan ketiga-tiga pempengaruh itu memberi kepingan ayam kepada seekor anjing selepas meninggalkan lokasi tersebut.
Artikel lain: Bagi Kuih Raya, Dapat Lamaran Pula! Gelandangan Terus Nak Merisik Wanita Ini
Salah seorang daripada mereka, Aluk Durianzaiii, dalam video berasingan di Instagram, mendakwa rakaman dibuat dengan persetujuan lelaki gelandangan berkenaan dan bertujuan menghasilkan kandungan amal.
“Kami sebenarnya membekalkan hidangan lengkap KFC, termasuk dua ketul ayam dan nasi, selepas penggambaran. Lelaki itu bersetuju untuk berlakon bersama kami. Kami minta maaf dan berharap diberi peluang untuk menebus kesilapan dengan melakukan lebih banyak kebaikan,” katanya.
Dalam satu lagi rakaman, Aluk bersama dua rakannya tunduk beberapa kali memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, menegaskan lelaki gelandangan tersebut menerima makanan sewajarnya di belakang kamera.
Kontroversi itu mengundang reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuan, yang menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan.
“Perbuatan ini bukan sahaja tidak sensitif, malah merendahkan maruah manusia. Saya sudah membuat aduan rasmi kepada MCMC untuk menyiasat dan menurunkan kandungan tersebut,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa eksploitasi terhadap individu terpinggir demi kandungan hiburan tidak boleh diterima.
Sementara itu, video berkenaan turut mendapat kecaman netizen yang menyifatkan ia sebagai contoh jelas umpan kemarahan dengan kandungan yang sengaja dicipta untuk mencetuskan reaksi negatif demi meraih tontonan dan capaian di media sosial.
Sumber: Malaysiakini
