Dua minggu lalu, Siti Norshahila Balqis Roslan, 19, melangkah penuh semangat ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Ayer Hitam, Jempol dengan senyuman dan lambaian terakhir buat keluarganya.
Dua minggu di PULAPOL
Namun, siapa sangka detik penuh harapan itu sebenarnya menjadi perpisahan abadi yang tidak pernah diduga.

Foto: TT syahdhroslan
Pada Sabtu lalu, arwah rebah secara mengejut ketika bersiap untuk menunaikan solat Subuh, sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurut keluarganya, pada minggu pertama di pusat latihan, arwah mengalami demam ringan dipercayai kerana perubahan cuaca, suasana baharu dan tubuhnya yang belum terbiasa dengan aktiviti lasak.
Artikel lain: Abang Tamat Latihan Polis, Adik Sedih Jadi Orang Terakhir Dipeluk – “Dia Mana Pernah Lupa”
Namun, memasuki minggu kedua, keadaannya semakin baik. Suaranya yang sebelum itu serak kembali pulih, malah dia kelihatan lebih bersemangat.
“Malam sebelum pemergiannya, arwah sempat telefon kami. Dia kata semuanya baik, tiada apa-apa masalah, malah kawan-kawan pun semua mesra dengannya. Tak sangka, itu perbualan terakhir kami dengannya,” kongsi ahli keluarga.
Kisah pemergian arwah dikongsikan oleh kakaknya, @syahdhroslan di TikTok yang memuat naik beberapa video momen terakhir adiknya termasuk detik lambaian sewaktu dihantar ke PULAPOL.

Foto: TT syahdhroslan
Perkongsian itu meruntun hati ramai pengguna media sosial yang turut menitipkan doa dan ucapan takziah.
Jenazah Siti Norshahila Balqis dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, Kota Bharu, selepas selesai bedah siasat. Tiba sekitar jam lima pagi Ahad, arwah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Lanas.
Suasana pilu menyelubungi ketika pengebumian, terutama saat ibu dan ayahnya sendiri menyiram air di pusara anak kesayangan mereka itu.
Dalam salah satu perkongsian, kakaknya Siti Norsyahadah menitipkan pesanan penuh sebak.
“Adik, kakak, ma dan abah sudah sempurnakan jenazahmu. Rehatlah dengan tenang di rumah barumu, tiada lagi penat atau keluhan. Ma dan abah reda dengan pemergianmu.
Kami akan terus kuat demi mereka, dan doa kami tidak akan pernah putus. Insya-Allah, bidadari syurga seperti adik akan sentiasa hidup dalam ingatan kami.” tulisnya.
Bagi keluarga, arwah adalah seorang yang pendiam , tidak pernah menyusahkan sesiapa, sangat manis perwatakannya dan mudah disenangi.

Foto: TT syahdhroslan
Seorang anak yang murah dengan senyuman, menjadikan pemergiannya sangat dirasai bukan sahaja oleh keluarga tetapi juga orang sekelilingnya.
Kini, hanya doa mampu mengiringi roh arwah agar ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman, sementara lambaian terakhirnya kekal sebagai kenangan abadi yang tidak akan pernah padam.
Sumber: TikTok @syahdroslan
