Bantuan perubatan daripada Malaysia bernilai RM1 juta telah selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda (SIM), Aceh, pada Sabtu, 29 November 2025.
Banjir Aceh menyebabkan banyak nyawa terkorban
Menerusi perkongsian di Instagram @sahabatsurga, warga Indonesia meluahkan rasa syukur dan penghargaan yang mendalam terhadap Malaysia atas sumbangan yang tiba tepat pada masanya.
Bantuan ini diharapkan dapat meringankan penderitaan penduduk yang terjejas akibat banjir besar yang melanda Aceh baru-baru ini. Ramai yang menyifatkan tindakan Malaysia sebagai bukti semangat persaudaraan yang erat antara dua negara jiran.
Sebelum ini, Gabenor Aceh, Muzakir Manaf, memaklumkan bahawa bencana tersebut telah meragut nyawa dan memusnahkan beberapa kawasan, termasuk di Bireuen, di mana tiga hingga empat kampung dilaporkan hilang.
Artikel lain: Banjir Hat Yai: Anak Terpaksa Simpan Mayat Ibu Dalam Peti Sejuk
Beliau turut menekankan bahawa keadaan penduduk di kawasan terjejas masih belum diketahui sepenuhnya.
“Banyak nyawa terkorban. Bahkan di Bireuen, tiga hingga empat kampung hilang dan sehingga kini kita masih belum tahu keadaan masyarakat di sana,” katanya.
Dalam usaha membantu warga Aceh, Muzakir Manaf berkoordinasi dengan pihak kerajaan pusat serta pengusaha di Kuala Lumpur dan Jakarta bagi mempercepatkan penghantaran bantuan.
Hasilnya, bantuan perubatan berskala besar daripada Malaysia telah selamat mendarat di Aceh pada Sabtu malam, jam 7 waktu tempatan.
Memetik dari Sinar Harian, bantuan tersebut telah merangkumi lebih dua juta unit ubat-ubatan dan peralatan perubatan dengan berat kira-kira dua tan dihantar menggunakan pesawat kargo khas dari Kuala Lumpur.
Penghantaran ini diselaraskan oleh Gomez Medical Services bersama pasukan kemanusiaan Blue Sky Rescue Malaysia.
Ia merupakan bantuan antarabangsa pertama yang tiba di Aceh sejak Badai Senyar melanda wilayah itu pada 22 November 2025 yang membawa hujan lebat melebihi 400 milimeter dalam tempoh dua hari, sekaligus mengakibatkan banjir lumpur dan tanah runtuh di perlbagai kawasan.
Sejak itu, Gabenor Aceh telah mengisytiharkan status darurat bencana selama 14 hari bermula 28 November hingga 11 Disember 2025 bagi mempercepatkan mobilisasi logistik, operasi pemindahan penduduk, dan kerjasama antara agensi.

Foto: CNN
Laporan awal mencatatkan 47 kematian, 19 hilang, manakala puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan bagi mengelakkan risiko keselamatan.
Warga Aceh menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Malaysia atas bantuan ini. Semoga banjir yang melanda segera surut dan kehidupan penduduk di kawasan terjejas kembali pulih seperti sediakala.
Bantuan seperti ini turut menguatkan ikatan persaudaraan dan semangat solidariti antara kedua-dua negara.
Sumber: Instagram @sahabatsurga, Sinar Harian (Muhammad Shamsul Abd Ghani)







































