Sekolah Pondok Mambaul Hikam yang terletak di Kabupaten Blitar, wilayah Jawa Timur mempunyai tarikan tersendiri apabila melaksanakan solat tarawih ‘kilat’ dengan durasi 7 minit untuk 20 rakaat berserta 3 witir.
Memang sudah begitu sejak didirikan
Memetik laporan dari TimesIndonesia, Pondok Mambaul Hikam merupakan salah satu pusat pengajian al-Quran tertua di Kabupaten Blitar yang didirikan oleh Kiyai Abdul Ghofur pada tahun 1907.
Sejak ia didirikan, solat tarawih dengan cara sebegitu memang sudah dilakukan.
“Tradisi salat tarawih cepat ini sudah berlangsung lama. Dicetuskan oleh kakek saya pendiri pondok ini,” kata KH Muhammad Dliya’uddin Azzamzam, cucu KH. Abdul Ghofur sekaligus Pengajar di Pondok Mambaul Hikam.
Bacaan dipercepatkan sahaja
Menurut Dliya’uddin Azzamzam, rakaat solat tarawih sama sahaja dengan 20 rakaat didirikan dan hanya membaca surah-surah pendek serta mempercepatkan bacaan.
“Semua dilaksanakan rukun-rukunnya. Ertinya tidak ada yang salah, sesuai syariat dan tuntunan agama. Hanya saja bacaan dan gerakannya dipercepatkan,” jelasnya.
Menerusi ceritanya, solat tarawih dengan durasi ringkas itu bermula apabila ada keluhan dari beberapa orang penduduk yang ketika zaman itu bekerja sebagai petani.
Disebabkan hanya malam sahaja peluang mereka bersama keluarga, solat tarawih dipercepatkan supaya mereka dapat berkumpul dengan ahli keluarga seusai menunaikan ibadah sunat tersebut.
Seiring dengan perkembangan zaman, jemaah yang hadir ke Mambaul Hikam juga semakin bertambah. Ada yang datang dari luar Kabupaten Blitar.
Kebanyakan jemaah adalah penduduk setempat namun ada juga yang hadir ke situ kerana ingin tahu bagaimana solat tarawih ‘kilat’ disana.
Sumber: TimesIndonesia