Penceramah bebas yang menetap di Malaysia, Dr Zakir Naik dilaporkan akan kembali ke negara ini dalam masa terdekat dari Muscat, Oman.
Menurut laporan Berita Harian, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Zakir memaklumkan, penceramah berusia 57 tahun itu masih mempunyai program di negara tersebut.
“Dia (Zakir Naik) akan pulang dalam masa terdekat selepas selesai semua program di sana,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Akberdin berkata, penceramah berasal dari India itu berada dalam keadaan selamat dan diberi layanan yang baik sepanjang berada di sana, malah bukan ditahan seperti dakwaan segelintir pihak.
“Zakir juga memaklumkan, laporan yang mendakwa penahanannya sekadar berita rekaan,” ujar Akberdin.
Beberapa hari lalu, media melaporkan Zakir atau nama penuhnya Zakir Abdul Karim Naik yang menjadi buruan di India tiba di Oman untuk menyampaikan ceramahnya selepas tarawih yang berlangsung semalam dan esok.
Difahamkan, beliau berdepan dakwaan mahkamah di India berhubung pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.
Malah, kerajaan India dilaporkan pernah menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisinya pada Januari 2018.
Sumber: Berita Harian (Hafidzul Hilmi Mohd Noor)