Pemain bola sepak yang pernah mewakili negara Jerman dalam beberapa edisi Piala Dunia, Mesut Ozil hari ini mengumumkan persaraannya sebagai seorang pemain bolasepak profesional.
Bersara selepas 17 tahun dalam dunia bola sepak
Menerusi perkongsiannya di Instagram, dia dengan serta merta mengatakan mahu bersara dalam arena bola sepak selepas 17 tahun mengabdikan diri untuk sukan yang amat dicintainya.
“Selepas membuat pertimbangan, saya ingin mengumumkan persaraan saya secara serta-merta daripada bola sepak profesional,” tulisnya.
Alami beberapa kecederaan
Ujarnya, antara punca dia mengambil keputusan seperti itu adalah disebabkan beberapa kecederaan yang dialami dan merasakan perkara tersebut adalah petanda bahawa dia harus meninggalkan pentas bola sepak.
“Saya amat beruntung dapat menjadi pemain bola sepak profesional selama hampir 17 tahun dan saya bersyukur atas peluang ini.
“Namun, sejak beberapa minggu dan bulan yang lepas, serta selepas mengalami kecederaan, semakin jelas bahawa sudah tiba masanya untuk meninggalkan pentas bola sepak,” katanya.
Terima kasih untuk semua yang menyokong
Pemain berusia 34 tahun itu juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pasukan yang pernah memberinya peluang serta kepada ahli keluarga dan sahabat rapat atas sokongan yang diberi sepanjang kariernya.
Menerusi rekod, Ozil telah memulakan kariernya di Bundesliga Jerman bersama kelab Schalke dan Werder Bremen sebelum mencipta nama di pentas dunia bersama Real Madrid.
Dia juga turut menjadi antara pemain utama untuk pasukan Jerman dalam beberapa edisi Piala Dunia.