Seorang janda anak 11 dicekup berkhalwat dengan anggota badan beruniform dalam satu serbuan di Taman Maju, Jasin, Melaka, kelmarin.
Memetik laporan Kosmo! Online, wanita berusia 46 tahun itu merupakan tunangan orang yang bakal berkahwin pada April ini, manakala lelaki tersebut adalah seorang duda berusia 35 tahun.
Mereka dicekup oleh Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Jasin (PAIDJ) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kira-kira pukul 3.20 pagi.
Khalwat bawa anak-anak?
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ketika serbuan dilakukan, wanita tersebut mengambil kira-kira 15 minit untuk membuka pintu.
Malah, hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang remaja berada di bilik hadapan dan kanak-kanak perempuan sedang tidur di bilik belakang.
“Pemeriksaan lanjut bahagian dalam menjumpai seorang lelaki berada di atas katil di bilik hadapan bersama seorang remaja berusia 16 tahun dan kanak-kanak perempuan 12 tahun sedang tidur di bilik belakang,”ujarnya.
Alasan tumpang bermalam sebab tiada bekalan air…
Hasil soal siasat yang dijalankan, lelaki berkenaan mengakui mereka tidak mempunyai hubungan sah dan cuma tumpang bermalam selepas rumahnya tiada bekalan air.
Tambahnya, dia sebenarnya berkawan dengan anak wanita tersebut dan cuma menganggap janda tersebut sebagai kakak angkatnya sahaja.
Sementara itu, wanita tersebut didapati berkahwin sebanyak dua kali sebelum ini dan pernah ditangkap khalwat pada dua tahun lalu.
“Wanita ini merupakan janda anak 11 dan semakan rekod kita dapati dia pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan berkhalwat.
“Dia turut memaklumkan merupakan tunangan orang dan dijadualkan akan berkahwin pada April depan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman manakala anaknya wanita tersebut disiasat di bawah Seksyen 34 Enakmen sama kerana bersubahat.
Sumber: Kosmo! Online (Diyanatul Atiqah Zakarya)