Lima sekeluarga berdepan detik cemas selepas kediaman teres dua tingkat mereka dirompak sekumpulan penjenayah dalam satu kejadian di Taman Petaling, Klang kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
Menurut laporan Kosmo! Online, empat penjenayah yang bertopeng dan bersenjatakan parang itu mencederakan salah seorang mangsa sebelum meloloskan diri.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek dipercayai menaiki sebuah kereta Proton Waja yang parkir di laluan belakang rumah tersebut.
“Mereka memasuki rumah menerusi pintu belakang. Suspek kemudian mengikat tangan dan menutup mulut empat sekeluarga sebelum membawa mereka ke dalam bilik. Manakala seorang lagi mangsa tidak diikat atas faktor usia.
“Penjenayah itu menyelongkar bilik dan mengambil wang tunai RM4,000, lima telefon bimbit dan pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM20,000 sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Waja sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Hoong Fong berkata, polis menemui kenderaan yang menggunakan nombor plat palsu itu di Taman Desawan dan usaha mengesan semua suspek masih dijalankan.
“Kita bagaimanapun menemui beberapa barang kes bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Weh rompakan bersenjata dekat taman sentosa klang 😭😭😭😭😥😥😥 pic.twitter.com/5qhN8OlVha
— Yink (@liyanaliyana) February 17, 2023
Terdahulu, tular satu video di media sosial dipercayai dirakam jiran kepada mangsa yang memaparkan sekumpulan lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah manakala seorang wanita cedera dengan kesan darah pada bahagian badan.
Sumber: Kosmo! Online (Iskandar Shah Mohamed), Twitter @liyanaliyana