Seorang pemandu lori telah memandu kenderaan berat tersebut ke Hospital Jitra (HJ) bagi mendapatkan rawatan ke atas kelindannya yang tersepit di tempat duduk selepas mengalami kemalangan.
Pandu sendiri hingga ke hospital
Memetik laporan dari Harian Metro, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo memaklumkan yang kejadian itu dipercayai berlaku pada 7 Februari lalu dan tular di aplikasi TikTok.
Difahamkan, kemalangan tersebut berlaku melibatkan lori berkenaan dan juga sebuah mesin padi. Justeru itu, pemandu lori yang berada dalam keadaan cemas telah segera memandu ke hospital bagi mendapatkan rawatan untuk kelindannya.
“Bagaimanapun, pihak hospital tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kes ini.
“Pesakit dipercayai memandu sendiri lori berkenaan ke HJ dan berhenti betul-betul di hadapan Unit Kecemasan dan Trauma hospital.
“Anggota kecemasan kemudian membantu segera serta mengeluarkan pesakit dari lori berkenaan,” katanya.
Difahamkan, pemandu lori berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan kelindan lori tersepit di bahagian tempat duduk dan berjaya dikeluarkan.
Dia telah dikejarkan ke zon merah sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah memandangkan kecederaan di bahagian abdomennya agak serius.
Lori remuk di bahagian hadapan
Menjengah ke video TikTok yang tular itu, dapat dilihat bahagian depan lori terbabit remuk di sebelah kiri dan kelindan seakan bingung menahan kesakitan sebelum dibantu untuk keluar di hadapan Unit Kecemasan dan Trauma hospital Hospital Jitra.
@ismailtowing24jam Allahuakbar..Tersepit dalam lori..
Mangsa dikatakan alami kecederaan di bahagian usus
Seorang pengguna TikTok yang mengaku sebagai sepupu kepada kelindan tersebut telah berkongsi keadaan terkini lelaki itu. Dia mengatakan yang mangsa telah ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami kecederaan di bahagian usus.
Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli), TikTok IsmailTowing24jam