Seorang remaja perempuan maut selepas dihemppa sebatang pokok sebesar tiga pemeluk setinggi bangunan tiga tingkat ketika bermain di Taman Permainan Balok Baru Beserah, Kuantan, Pahang, semalam.
Menurut laporan, mangsa dikenali Aliya Zahra Mohamad Hasnizam, 14, terkorban sewaktu menyelamatkan adiknya yang berusia sembilan tahun sebelum pokok berkenaan menimpa dirinya.
“Berdasarkan temubual dengan adik mangsa, ketika sedang bermain tiba-tiba terdengar bunyi pokok hendak patah dan mangsa menarik adinya keluar dari lokasi kejadian.
“Mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan terkena dahan pokok yang tumbang,”katanya.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang itu berlaku ketika mangsa bermain dengan adiknya di taman permainan itu ketika mengikut bapanya yang menjual burger di kawasan berhampiran.
Mangsa telah dibawa ke hospital oleh keluarganya dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Bapa mangsa, Mohamad Hasnizam Manan, 45, ketika ditemui berkata dia sedih tetapi reda dengan pemergian anaknya yang pergi dalam kejadian malang tersebut.
Dalam pada itu, Mohamad Hasnizam sempat meluahkan kesyukuran kerana sempat menunaikan permintaan anaknya.
“Tiada tanda pelik yang ditunjukkan tetapi sebelum kejadian arwah ada minta membawanya ke kedai kerana ingin membeli barang keperluan diri dan meminta saya bawanya makan pizza… kebetulan saya sempat tunaikan semua permintaannya,”ceritanya.
Mengulas lanjut, ketika kejadian dia bersama isterinya, Maznah Abdul Ghani, 36, sedang melayan pelanggan di gerai burger milik mereka sebelum bergegas ke lokasi kejadian apabila orang ramai datang memanggilnya.
Jelasnya, mangsa terkena pada bahagian hujung pokok dan keadaannya ketika itu tidak menunjukkan terdapat kecederaan serius tetapi hanya mengalami pendarahan di hidung.
Sementara itu, Mohamad Hasnizam menyifatkan anaknya seorang anak yang baik dan pandai menjadi adik-adiknya yang lain selain menjadi harapan mereka sekeluarga. Bahkan, Aliya juga seorang yang rajin mengaji terutama setiap hujung minggu.
Sumber: Kosmo!, Utusan Malaysia