Seorang wanita berusia 37 tahun direman enam hari untuk membantu siasatan selepas disyaki memukul anak perempuannya, 4, sehingga tersungkur dan cedera terhantuk di bucu bangku di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau baru-baru ini.
Wanita disyaki pukul anak
Foto: BERNAMA
Menurut laporan BERNAMA, perintah reman yang bermula pada Selasa telah dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kangar Ana Rozana Mohd Nor.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi mengesahkan wanita tersebut ditahan di bilik sewanya di Jejawi pada pukul 11.30 malam Isnin selepas pihak polis menerima video melalui WhatsApp pada pukul 10 malam.
Video tersebut memaparkan wanita yang juga pekerja kantin memukul bahagian belakang kepala anaknya sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah di hadapan pasar raya tersebut.
“Kejadian itu berlaku pada 9 Feb (Ahad lepas) dan kanak-kanak ini luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” kata Ahmad Mohsin.
Terdahulu, video berdurasi 47 saat yang menunjukkan kejadian tersebut telah menjadi tular di media sosial sejak Isnin.
Artikel lain: Buang Bayi: Ibu Empat Anak Direman, Suami Dalam Pusat Serenti
Hasil siasatan awal mendapati wanita tersebut dan suaminya yang juga pekerja kantin mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun.
Suspek dipercayai telah memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya sehingga menyebabkan mangsa terhantuk di bucu bangku dan mengalami pendarahan di hadapan pasar raya berkenaan.
Sumber: BERNAMA
![](https://borakdaily.com/wp-content/uploads/2024/01/BORAK-DAILY-v1.png)