Pelakon Bollywood popular, Hrithik Roshan mendedahkan dia pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahannya gara-gara terlalu pemalu dan tidak petah dalam berkata-kata.
Ujarnya, disebabkan mempunyai masalah gagap dan pemalu, dia tidak mempunyai kawan mahupun teman wanita serta kerap akan menangis apabila pulang dari sekolah.
“Masa zaman sekolah saya ada masalah gagap dan pemalu, disebabkan itu saya tidak mempunyai kawan mahupun teman wanita malah setiap kali pulang dari sekolah saya akan menangis. Saya kadang kala merasa hidup ini tidak adil, zaman persekolahan bagi saya sangat menyakitkan,” katanya.
Bukan itu sahaja, pelakon yang berusia 48 tahun itu turut memaklumkan dia mempunyai masalah kesihatan ketika mendapatkan rawatan daripada pegawai perubatan dan halangan tersebut menyebabkan dia tidak dapat menjadi seorang pelakon.
Susulan itu, dia merasakan dirinya seorang kurang upaya dan akui trauma dengan perkara tersebut.
“Doktor yang merawat saya pernah beritahu saya tidak dapat menjadi seorang pelakon kerana masalah tulang belakang. Dia kata saya tidak boleh menari.
“Masa itu saya kecewa sangat sehingga saya merasakan diri sebagai orang kurang upaya dan trauma dengan perkara itu,” ujarnya lagi.
Sumber: mStar