Baru-baru ini, bintang Hollywood popular, Dwayne Johnson mendedahkan dia mahu tebus kembali kesalahannya yang pernah mencuri coklat pada usia 14 tahun lalu dengan memborong semua coklat di sebuah kedai serbaneka di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Menceritakan kembali kejadian tersebut, dia memaklumkan pada ketika itu dia bersama rakan yang lain mencuri coklat jenama Snickers disebabkan tidak mempunyai wang di sebuah kedai serbaneka.
Ujarnya lagi, dia bertindak sedemikian kerana gemar akan coklat jenama tersebut namun terpaksa jadi panjang tangan setiap kali datang ke kedai itu.
“Saya sukakan coklat Snickers, tetapi saya tidak mempunyai wang untuk membelinya. Jadi saya mencuri coklat itu setiap kali pergi ke kedai serbaneka tersebut,” katanya.
Kesal akan tindakannya itu, pelakon yang berusia 50 tahun tersebut telah memborong kesemua coklat jenama Snickers di sebuah kedai serbaneka bagi menebus kesalahannya.
“Saya beli semua sebab rasa bersalah dan sekarang saya sudah mempunyai wang untuk membeli semua coklat tersebut,” jelasnya lagi.
Bukan itu sahaja, selepas memborong kesemua coklat, dia akan memberikan coklat Snickers tersebut secara percuma kepada pelanggan yang datang ke kedai itu.
Sumber: Kosmo (Mohammad Shahemy Azmi)