Tiga inisiatif baharu melalui kerjasama antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi manfaat kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamedd Khaled Nordin berkata, kerjasama itu membabitkan tiga bidang iaitu Inisiatif Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work Based Learning – WBL), Inisiatif Program Komuniti Tertumpu dan Inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP).
“Insiatif WBL bertujuan untuk meningkatkan taraf akademik anggota ATM sebelum mereka menamatkan perkhidmatan, dengan jangkaan sasaran seramai 1000 orang anggota ATM dari pelbagai tred kepakaran akan menerima manfaat pada tahun 2025.
“WBL mampu menjana peluang kerjaya kedua dan kebolehpasaran dalam lingkungan kerja bagi anggota ATM setelah bersara. Selain itu, WBL juga akan memberikan pengiktirafan kepakaran dan pengalaman kerjaya yang dimiliki anggota kepada akreditasi akademik yang setaraf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MINDEF dan KPT di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur hari ini.
Selain Mohamaed Khaled, majlis berkenaan dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menyaksikan termeterainya nota kerjasama strategik tersebut.
Artikel lain: Warga Baharu ATM Terus Nikmati Skim Persaraan, Tidak Terbabit Dengan SSPA
Sementara itu, Mohamaed Khaled berkata, Inisiatif Program Komuniti Tertumpu pula merupakan satu bentuk Projek Inovasi Sosial dalam kem-kem angkatan tentera dimana MINDEF akan meneroka peluang mewujudkan program yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi warga kem tentera.
“Ia akan dijalankan menerusi pemindahan ilmu atau Knowledge Transfer Programme daripada IPT dimana institusi yang terlibat akan masuk ke kem-kem tentera, dan melihat, apakah ruang, peluang serta potensi yang ada.
“Hasil perbincangan mereka dengan Badan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT), satu projek komuniti dan ekonomi akan diusahakan secara bersama.
“Di bawah usaha sama ini, suri rumah dan anak-anak keluarga ATM di kem-kem tentera akan menikmati manfaat hasil kolaborasi Yayasan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),” ujarnya.
Inisiatif kedua itu memberi peluang dan pendedahan kemahiran serta membantu usaha menjana pendapatan secara tersusun kepada isteri dan anak-anak warga ATM.
Selain itu, beliau berkata inisiatif terakhir adalah Program Kolaborasi Industri : Industry Collaboration Program (ICP) dimana MINDEF sentiasa sedia bekerjasama dengan KPT bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber teknologi luar merangkumi aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta latihan.
“Kerjasama tersebut dijangka akan dapat memberikan manfaat yang meluas kepada warga ATM termasuk ahli keluarga anggota ATM dan ahli BAKAT yang terdiri daripada isteri-isteri pegawai dan anggota tentera,” jelasnya.
Hadir sama pada program tersebut adalah Panglima-panglima Perkhidmatan, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan Awam Kementerian Pertahanan, Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi serta Institusi Pengajian Tinggi Awam.