Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan perjalanannya ke luar negara baru-baru ini dibiayai syarikat swasta.
Menyingkap kenyataan yang dikeluarkan, beliau menyatakan bahawa lawatannya ke empat negara itu menggunakan wang kerajaan yang bernilai RM1.6 juta.
Foto: Facebook Anwar Ibrahim
“Saya tidak guna dana syarikat swasta. Kerajaan guna penerbangan MAS untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang kerajaan sepenuhnya.
“Baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama. Syarikat ini bayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.
“Jika guna jet eksekutif kerajaan, kos perlu ditanggung Kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk kerajaan hanya RM1.6 juta,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Foto: Instagram Sinar Harian
Dalam hantaran sama, Anwar turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang fitnah dan kenyataan yang tidak berasas.
“Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” katanya lagi.
Foto: Freemalaysiatoday
Menteri Kewangan itu berkata demikian sebagai respons kepada laporan Sinar Harian berhubung kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah berhubung lawatannya ke luar negara.
Pushpan dipetik berkata, tindakan Anwar menggunakan dana syarikat swasta yang mengikutinya ke luar negara akan menyebabkan kerajaan menerima tekanan syarikat terbabit dalam bentuk balasan.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilapor berkata kerajaan jimat hampir RM1 juta membabitkan kos penerbangan bagi lawatan Anwar baru-baru ini.
Jelas Fahmi, kerajaan menanggung RM1.662 juta menerusi sewaan pesawat khas Airbus A350 Malaysia Airlines berbanding kos penggunaan pesawat rasmi kerajaan sebanyak RM2.5 juta.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim