Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengesahkan seramai 104 daripada hampir 500 pelajar yang menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram untuk ke sekolah di Rantau Panjang adalah pelajar di bawah kelolaan mereka.
Foto: Buletin TV3
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan beberapa mekanisme telah ditetapkan dan sedang dipertimbangkan bagi menangani isu tersebut untuk memastikan akses pendidikan dan keselamatan murid tidak terganggu.
KPM kini sedang dalam perbincangan dengan keluarga pelajar untuk menempatkan mereka di asrama, dan perkara ini perlu diselesaikan sebelum 1 Disember.
“Insya-Allah dalam perkiraan dan juga tindakan kita, saya harap dapat diselesaikan kerana bilangan murid itu tidak ramai di bawah KPM,” katanya selepas melancarkan Kit Duta Sahsiah Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen HGH, Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad.
Fadhlina mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan untuk memastikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengenal pasti asrama yang boleh digunakan.
Mekanisme kedua yang dicadangkan oleh KPM adalah pengenalan pas khas untuk kegunaan murid berkenaan bagi urusan keluar masuk sempadan.
Menurut Fadhlina, walaupun terdapat keperluan untuk menyeberangi Sungai Golok, pelajar harus menggunakan laluan yang sah dan pas yang sah.
“Masih ada lagi barangkali yang memerlukan pas untuk menyeberangi Sungai Golok. Tapi kita juga telah mengambil tindakan tegas untuk memastikan bahawa, jika ada keperluan menyeberangi pun mereka harus melalui laluan yang sah dan menggunakan pas yang sah,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menekankan bahawa tindakan ini penting untuk memastikan akses pendidikan pelajar dapat diteruskan sambil menjamin aspek keselamatan mereka.
“Di peringkat KPM, itu tindakan yang saya ingat sangat mustahak dan sangat signifikan yang kita ambil untuk memastikan pertamanya akses pendidikan mereka dapat diteruskan dan keduanya aspek keselamatan mereka,” katanya.
Sumber: Buletin TV3