Selari dengan aspirasi Kerajaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sokong Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi membangunkan bakat rakyat tempatan dalam sektor pelancongan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata ini bagi memenuhi keperluan pasaran kerja yang dinamik dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
MOTAC sokong dasar TVET demi bangun sektor pelancongan
“Sektor pelancongan merangkumi lima subsektor iaitu Pemandu Pelancong, Hotel, Spa dan Premis Kesejahteraan dan Urutan (PKU), Golf, dan Taman Tema. Sektor ini menghadapi cabaran dalam mendapatkan tenaga kerja tempatan.
“Namun, cabaran ini bukan sahaja tentang kecenderungan belia untuk memilih ekonomi gig seperti e-hailing dan p-hailing yang menawarkan kebebasan dan fleksibiliti yang lebih tinggi, tetapi juga ketidakpadanan kemahiran antara graduan dan keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Aspirasi Generasi TVET Dalam Sektor Pelancongan di Dewan Canselor, Management & Science University (MSU), Shah Alam pada Isnin.
Tambahnya, Program Aspirasi Generasi TVET Dalam Sektor Pelancongan merupakan inisiatif strategik untuk menangani kekurangan tenaga kerja dalam industri pelancongan.
“Ia berfungsi sebagai platform ekosistem yang menyelaraskan permintaan tenaga kerja dari pihak industri dengan penawaran tenaga kerja tempatan, khususnya belia dan graduan dalam bidang hospitaliti dan pelancongan.
“Melalui program ini, MOTAC bertujuan untuk merapatkan jurang antara keperluan industri dan ketersediaan bakat tempatan yang berkemahiran,” ujarnya lagi.
Khairul Firdaus berkata, sektor pelancongan juga merangkumi pengalaman, budaya dan peluang yang memperkaya negara disamping sektor ini juga telah memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan negara.
“Berdasarkan statistik terkini, sektor pelancongan menyumbang sebanyak RM275.8 bilion bersamaan dengan 15.1% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023,” katanya.
Dalam pada itu, MOTAC akan terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama dunia dengan menarik lebih ramai pelancong.
Artikel lain: Tiada Diskriminasi, Kemasukan Pelajar Ke IPTA Berdasarkan Merit – Zambry
Ini sekali gus memberi impak positif terhadap kitaran ekonomi melalui peningkatan penawaran pekerjaan dalam pasaran buruh, di mana sektor pelancongan menawarkan 3.4 juta pekerjaan dan telah menyumbangkan sebanyak 21.4% daripada jumlah keseluruhan pekerjaan di Malaysia bagi tahun 2023.
“Kajian Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mendapati lebih daripada 40% peluang pekerjaan dalam sektor ini melibatkan kemahiran yang diperoleh melalui pendidikan dan latihan TVET.
“Ini bermakan, dengan kemahiran TVET, anda berada dalam kedudukan yang baik untuk merebut peluang-peluang ini,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menyeru agar semua belia menghargai peluang untuk menimba ilmu, mempelajari kemahiran baru dan mengasah bakat dalam bidang yang diminati serta percaya bahawa bidang kemahiran juga adalah kunci kepada kejayaan dalam pasaran kerja yang kompetitif.